AKTIFKAN AKAUN 24434

SEKADAR mengenang kembali coretan di Facebook pada 1 Mei 2019 berikutan pemergian Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz. Semoga sedikit sebanyak memberi manfaat.. Al Fatihah.

 

INGATAN AKTIFKAN AKAUN 24434

TAKZIAH kepada keluarga Allahyarham Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz, 72. Pemergian Allahyarham kira-kira pukul 7.30 pagi tadi umpama kehilangan sebutir permata yang sukar dicari ganti. Allahyarham meninggal dunia selepas rebah waktu Subuh tadi. Pasukan perubatan yang datang bersama ambulans cuba melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) bermula dari rumah hingga ke Hospital Kuala Lumpur. Doktor kemudian mengesahkan pendakwah terkenal itu meninggal dunia.

Menyelak kembali kisah keluarga Haji Din ini, pada 16 September 2016, abang Allahyarham, Datuk Dr. Haron Din, 76 meninggal dunia di Hospital Stanford, San Francisco, Amerika Syarikat ketika menjalani rawatan jantung. Pada tahun yang sama, 14 November, abang Dr. Haron iaitu Ustaz Ishak Din, 78 pula meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN). Begitulah pemergian tiga beradik pendakwah yang banyak jasa mendidik masyarakat.

Mati itu pasti. Tiada sesiapa mampu mengelak. Ingatlah firman Allah SWT, : Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan,”.

(Al-A’raaf 7:34)

Terlalu banyak sumbangan Allahyarham Ustaz Abu Hassan dalam menyebarkan ilmu dan dakwah bagi membimbing serta mendidik masyarakat Islam. Memang menyeronokkan setiap kali mendengar ceramah Allahyarham lebih-lebih lagi secara langsung di lokasi. Dua ceramah yang masih dalam ingatan ialah di Masjid Bandar Seri Putra dan di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi mereka yang telah kembali daripada menunaikan haji pada 2017.

Sehingga malam tadi Allahyarham terus berdakwah dengan menyampaikan ceramah di Surau An-Nur Fasa 3A Bandar Seremban Selatan, Negeri Sembilan. Kuliah Maghrib Khas itu bertajuk Andainya Ini Ramadan Terakhir.

Ketika ceramah di Masjid Bandar Seri Putra pada 28 Februari 2018, dalam mukadimah ceramah bertajuk Islamlah, Sejahtera (selamat) Dunia Akhirat itu, Allahyarham menyentuh sama ada majlis ilmu seumpama itu boleh dijadikan seperti pentas raja lawak, berkelakar atau berjenaka. Allahyarham menegaskan tidak salah memberi sedikit jenaka dalam ceramah seperti itu tetapi biarlah secara ala kadar.

Sebelum meneruskan ceramahnya, Allahyarham juga bertanyakan sama ada program itu ‘dinamakan’ sebagai tazkirah, kuliah Maghrib  atau ceramah umum. Bagi Allahyarham, definisi tazkirah adalah ceramah ringkas 10 hingga 15 minit, kuliah Maghrib pula tempoh sementara menunggu waktu Isyak. Ceramah umum pula panjang sedikit sehingga selepas Isyak (azan). Malam itu pilihan Allahyarham adalah ceramah umum tetapi dengan syarat tidak perlu dihentikan untuk azan Isyak.

Penegasannya adalah mendahulukan yang wajib, bukannya sunat. Azan itu sunat sedangkan menuntut ilmu (ceramah) itu wajib. Maka pada malam itu, ceramah tidak dihentikan seperti kebiasaan apabila masuk waktu Isyak. Satu contoh lagi berkaitan teguran kerana mendahulukan yang sunat ialah apabila Allahyarham menceritakan pernah menegur imam yang berwirid dan berdoa panjang selepas solat Asar sedangkan ketika itu ada jenazah yang perlu disolatkan. Hakikatnya solat jenazah perlu diutamakan. Pengajarannya adalah perlu mendahulukan sesuatu yang wajib.

Ceramah pada malam itu juga menyentuh mengenai pentingnya solat yang khusyuk, bukan cincai. Sembahyang ada lima jenis atau peringkat iaitu solat orang muhsinin, solat orang khusyuk, solat orang yang arif, solat kebanyakan orang dan solat orang jahil. Penjelasan mengenai solat setiap kali menyentuhnya di dalam ceramah amat mudah difahami. Banyak yang dipelajari bagi memastikan solat kita lebih sempurna.

Allahyarham mengingatkan kepentingan menjaga solat. Justeru Allahyarham menggesa supaya setiap orang mengaktifkan ‘Akaun 24434’ (Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib, Isyak) supaya selamat di akhirat. Allahyarham menyentuh mengenai ‘masuk’ kubur yang ada dua jenis atau kategori roh di alam barzakh. Ada yang mendapat nikmat kerana ‘akaun simpanan akhirat’ yang banyak dan ada juga roh yang diseksa. Bagi yang mengaktifkan Akaun 24434 di samping amalan lain, maka mereka dapat beristirahat seperti mana tidur pengantin. Ingatlah amalan pertama yang dihisab adalah solat.

Semoga ilmu yang disebarkan oleh Allahyarham melalui pelbagai sumber memberi manfaat dan mendapat ganjaran. Semoga roh Almarhum ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. AlFatihah.

Related posts

Leave a Comment