Cakap jangan sebarang cakap

CAKAP siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Atau kerana pulut santan binasa kerana mulut badan binasa. Begitu peringatan orang dulu mengenai sesuatu yang hendak dilakukan supaya lebih berhati-hati kerana tersilap langkah akan memudaratkan.

Mungkin ingatan itu bertepatan terhadap cadangan Presiden Donald Trump supaya pembasmi kuman disuntik sebagai rawatan Covid-19.

Pada Khamis, Trump mengemukakan beberapa cadangan untuk dipertimbangkan oleh pakar sains dan perubatan sebagai rawatan koronavirus. Antaranya termasuk suntikan pembasmi kuman (disinfectant) yang wujud dalam produk pembersihan, seperti bahan peluntur.

Beliau turut melontarkan idea untuk memantulkan cahaya ke badan bagi menghapuskan jangkitan Covid-19.

Namun semalam selepas teruk dikritik, Trump menegaskan bahawa cadangan itu hanyalah komen yang dibuat secara sarkastik.

“Saya hanya menimbulkan persoalan itu secara sarkastik kepada wartawan seperti kamu, untuk lihat apa yang akan berlaku.” katanya menjawab soalan wakil media.

Malangnya sebelum itu, seorang lelaki di Arizona maut akibat menelan chloroquine selepas mendengar cadangan Trump bahawa bahan tersebut boleh mencegah Covid-19. Isteri mangsa, isteri turut mengambil bahan kimia itu dan kini dalam keadaan kritikal.

Bahan toksik yang diambil pasangan itu bukan ubat yang sering digunakan untuk merawat malaria sebaliknya bahan yang terkandung dalam rawatan parasit yang digunakan untuk ikan.

Dalam satu temubual bersama media tempatan NBC News, isteri mangsa mendapat tahu tentang bahan itu apabila Trump mengemukakan beberapa manfaat mengambil chloroquine.

“Saya lihat [rawatan parasit ikan] terletak di rak dan terfikir, bukankah itu bahan yang disebut di televisyen?” kata isterinya.

Justeru, pasangan dalam lingkungan usia 60-an tersebut mencampurkan chloroquine bersama cecair lain untuk diminum dengan harapan tidak dijangkiti koronavirus.

Dalam tempoh 20 minit, mereka mula rasa sakit dan pening. Isteri muntah dan  suami mula mengalami masalah pernafasan. Isteri mangsa menghubungi talian kecemasan dan sejurus tiba di hospital, suaminya meninggal dunia.

Berikutan kenyataan awal Trump, syarikat RB yang terkenal untuk produk pembasmi kuman seperti Dettol dan Lysol menegaskan bahawa produknya langsung tidak sesuai digunakan dalam badan. Pengeluar produk pembersihan Domestos turut memberi amaran bahawa bahan peluntur itu harus digunakan dengan selamat.

Seteru politik Trump, Joe Biden menurut satu ciapan juga memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menelan bahan peluntur untuk pencegahan koronavirus.

Related posts

Leave a Comment