Agenda transformasi kesihatan digital

PUTRAJAYA 13 Dis. – Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad yang kembali menerajui semula Kementerian Kesihatan hari ini bertekad untuk melaksanakan agenda transformasi kesihatan digital secara menyeluruh.

Beliau berkata, usaha transformasi berkenaan akan dijayakan bersama-sama Timbalannya,  Lukanisman Awang Sauni dan pasukan KKM yang diketuai Ketua Setiausaha, Datuk Seri Dr Zaini Ujang.

Dr Dzulkefly antara lima bekas menteri yang dilantik semula dalam rombakan Kabinet semalam pernah menjadi Menteri Kesihatan dari Mei 2018 hingga Februari 2020 di bawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Beliau tiba kira-kira pukul 8.15 pagi di KKM, disambut Lukanisman, Zaini dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dan kemudiannya menghadiri taklimat ringkas bersama pengurusan tertinggi KKM.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada perdana menteri dan Yang di-Pertuan Agong yang memberi perkenan saya kembali kemudi dan pimpin KKM,” katanya.

Dr Dzulkefly diberi kepercayaan untuk kembali menerajui KKM kerana pengalamannya amat diperlukan untuk pengukuhan kementerian itu.

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu mengambil tempat Dr Zaliha Mustafa yang kini diberi tanggungjawab sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

Related posts

Leave a Comment