2.62 juta kes, 183,000 korban

SETAKAT pagi ini, kes positif Covid-19 di seluruh dunia mencecah 2.62 juta iaitu peningkatan lebih 80,000 kes manakala kematian meningkat sebanyak 7,000, menghampiri 183,000.

Data Johns Hopkins University menunjukkan dalam tempoh 24 jam, Sepanyol  menyertai Amerika Syarikat (AS) untuk berada dalam kelompok negara mempunyai kes positif melepasi angka 200,000.

Empat negara, AS, Itali, Sepanyol dan Perancis mempunyai kes kematian melebihi 20,000.

AS kekal negara paling teruk terjejas dengan mencatatkan lebih 839,000 kes, pertambahan lebih 25,000 kes baharu. AS juga mendahului angka korban dengan 46,000 kematian, pertambahan 2,600 kematian dalam tempoh 24 jam.

Sepanyol mencatatkan peningkatan melebihi 4,000 kes baharu menjadikan 208,389 dan menjadi negara ketiga paling teruk terjejas dengan pertambahan lebih 500 korban, menjadikan jumlah keseluruhan 21,700 kematian.

Sementara itu, Itali dan Perancis pula kini masing-masing mencatatkan 187,000 kes dan 159,000 kes secara keseluruhan.

Itali mencatatkan pertambahan 485 korban dengan jumlah keseluruhan melebihi 25,000 kematian sementara Perancis merekodkan pertambahan 640 kes korban menjadikan jumlah keseluruhan 21,300 kematian.

Manakala Jerman dan United Kingdom (UK) mencatatkan angka positif melebihi 100,000 dengan 149,000 dan 134,000 kes baharu. Setakat ini Jerman mencatatkan 5,279 kematian manakala UK 18,000 kematian pertambahan 800 kes.

Sementara itu, Turki mempunyai kes positif sebanyak 98,000 dan dijangka melepasi angka 100,000 dalam beberapa hari lagi.

Jumlah pesakit Covid-19 yang telah sembuh daripada virus itu kini melebihi 706,000 di seluruh dunia

Related posts

Leave a Comment