Apabila gajah ‘menganggur’

KETIKA dunia sedang dilanda wabak Covid-19, bukan hanya manusia memerlukan bantuan makanan tetapi juga haiwan. Bagi yang tidak mempunyai pendapatan tetap, atau hilang pekerjaan disebabkan perintah berkurung atau pergerakan terhad, bantuan makanan amat dinantikan.

Begitu juga haiwan peliharaan yang terkurung yang sebelum ini digunakan untuk ‘bekerja’ mencari pendapatan. Di kem gajah di Thailand, bukan setakat manusia yang hilang pekerjaan dan pendapatan tetapi gajah-gajah juga tidak mampu menjana pendapatan.

Manusia dan gajah tiba-tiba menjadi penganggur akibat penularan wabak Covid-19. Kem gajah terpaksa ditutup kerana ketiadaan pengunjung atau pelancong. Secara tidak langsung kem hilang pendapatan dan akhirnya menjejaskan kehidupan pekerja dan gajah.

Justeru, Persatuan Persekutuan Gajah Thai (Thai Elephant Alliance Association (TEAA) mengambil inisiatif menggerakkan projek tabung makanan untuk membantu gajah terus hidup.

Projek ‘Sertai Gajah Harungi Krisis Covid-19” ini menyasarkan untuk membantu gajah yang ‘menganggur atau  hilang pekerjaan’ di kem-kem gajah di negara itu.

Penutupan kem gajah juga menimbulkan kebimbangan kerana kemungkinan gajah-gajah berkenaan terpaksa ke jalanan untuk terlibat dalam operasi pembalakan haram.

“Melainkan jika kerajaan menawarkan sokongan kewangan untuk membantu taman dan kem terbabit,” kata Presiden TEAA, Theerapat Trungprakan.

Pada 15 April lalu, TEAA membantu 877 ekor gajah dengan 502,061 Thai Baht untuk membeli makanan seperti pisang, tembikai, batang jagung dan nanas serta rumput.

Kem gajah ini terdapat di merata tempat termasuk di Chiang Mai, Chonburi, Phuket dan Surin. Difahamkan, di Chiang Mai sahaja mempunyai 93 buah kem dan taman gajah. Dianggarkan terdapat 2,000 ekor gajah di seluruh kem di negara itu.

Kem Gajah Maesa di Chiang Mai misalnya terpaksa ditutup menyebabkan gajah-gajah itu ‘menganggur’. Kehidupan kumpulan gajah itu tidak lagi seperti dahulu kerana  bebas daripada tugasan harian menghiburkan pengunjung.

Kesemua 78 ekor gajah di kem itu tidak perlu lagi menjadi tunggangan pengunjung, malah pemilik kem itu memaklumkan akan menghentikan perkhidmatan tersebut, biarpun selepas wabak berakhir. Haiwan itu kini bebas berkeliaran dalam kawasan kem dan pengunjung hanya boleh memerhatikan dari jauh.

“Sejak mula beroperasi pada tahun 1976, menunggang gajah adalah aktiviti kegemaran pelancong ,” kata pengarah kem, Anchalee Kalampichit.

Beliau berkata, selepas ini fokus kem lebih kepada pembelajaran untuk orang ramai, bukan lagi tunggangan gajah.

Pemilik Elephant Nature Park, Saengduean Chailert berkata, akibat ketiadaan dana, gajahnya semakin tidak sihat dan bimbang jika satu-satunya pilihan yang ada nanti gajah-gajah itu terpaksa dihantar ke zoo atau dikerah untuk kerja-kerja pembalakan.

Selain itu, Pengurus Elephant Rescue Park, Apichet Duangdee berkata, pihaknya

memerlukan 1,000 Bhat (lebih kurang AS$30 sehari) bagi setiap gajah yang memerlukan 250 hingga 300 kg makanan sehari.

Baginya, jika membebaskan lapan gajahnya – yang pernah diselamatkan dari sarkas dan pembalak – ke dalam hutan semula, ia akan menimbulkan masalah lain sekiranya gajah tersebut mati terbunuh selepas terlibat dalam pertempuran dengan gajah-gajah liar .

Beliau yang bertekad untuk tidak mengabaikan gajah-gajahnya merancang untuk membuat pinjaman bagi mengelakkan gajahnya kelaparan.

Related posts

Leave a Comment