Status palsu, denda RM5,000

JANGAN main-main sebar berita palsu. Hari ini, akibat memuat naik status palsu di aplikasi WhatsAppnya, seorang penghantar makanan didenda RM5,000. Melalui WhatsApp itu, Azwan Mohd Salleh, 23, menyatakan pekerja di sebuah kedai serbaneka positif Covid-19.

Dia yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang mengaku salah di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara 12 bulan, sekiranya dia gagal membayar denda itu.

Tertuduh didakwa menaikkan status dengan niat hendak menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada awam mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dia melakukan kesalahan itu Desa Jaya, Gombak di sini pada pukul 7 malam semalam.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian pekerja kedai itu yang merupakan pengadu dalam kes ini telah melihat status aplikasi WhatsApp itu di telefon rakannya yang menyatakan pekerja di kedai itu positif Covid-19.

Pengadu kemudian bertanya kepada rakannya dari mana beliau mendapat status  itu, rakannya  memberitahu status itu diambil daripada tertuduh dan pengadu membuat laporan polis menafikan status palsu itu.

Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni memohon hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh menyebabkan ketakutan dalam kalangan orang awam.

“Tertuduh sepatutnya berhati-hati dalam berkongsi status dari sumber yang sahih terutamanya semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Peguam Erni Ahmad dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan kerana anak guamnya  telah insaf serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

Related posts

Leave a Comment