Peningkatan kes positif di negara tetangga ASEAN

SEBANYAK 47 lagi kematian akibat Covid-19 dalam tempoh 24 jam di INDONESIA, menjadikan angka kematian kini berjumlah 582 kes.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto berkata jumlah kes positif juga terus meningkat kepada 6,575 kes.

“Bagi tempoh 12 tengah hari semalam (18 April) sehingga 12 tengah hari ini, berlaku 47 lagi kematian dan tambahan kes positif baharu sebanyak 327 kes,” katanya.

Sebanyak 34 daripada 47 kematian dalam tempoh 24 jam itu berlaku di Provinsi Jakarta.

Provinsi Jakarta mencatatkan jumlah keseluruhan kematian tertinggi iaitu 287 kes, diikuti Jawa Barat (59 kes), Jawa Timur (54), Jawa Tengah (44) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan SINGAPURA (MOH) mengesahkan 596 kes awal jangkitan baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini ialah 6,588.

Kementerian itu berkata majoriti kes membabitkan pemegang permit kerja yang kini tinggal di asrama pekerja asing manakala 25 adalah warganegara/penduduk tetap Singapura.

Setakat tengah hari Sabtu (18 April, sejumlah 4,162 kes telah diklasifikasikan sebagai penghuni asrama pekerja, 284 membabitkan pemegang permit kerja yang tidak tinggal di asrama pekerja, 977 kes komuniti manakala 569 lagi adalah kes import.

Singapura telah mewartakan 12 daripada lebih 20 asrama pekerja yang terjejas sebagai kawasan isolasi dengan kebanyakan penghuni yang dijangkiti adalah warganegara Bangladesh, India, China dan Myanmar.

Jabatan Kesihatan FILIPINA pula melaporkan sehingga pukul 4 petang ini, sebanyak 172 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah kes 6,259.

Jumlah kematian juga meningkat kepada 409 kes berikutan pertambahan 12 kes hari ini manakala jumlah kes pulih adalah 572 termasuk 56 pemulihan hari ini.

Di THAILAND, sebanyak 32 kes baharu dicatatkan menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan setakat ini ialah 2,765 manakala angka korban kekal 47 orang.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata, 141 pesakit sembuh menjadikan jumlah keseluruhan yang didiscaj setakat ini ialah 1,928 orang manakala 790 lagi masih menerima rawatan.  

Beliau berkata sembilan wilayah di Thailand kekal bebas jangkitan Covid-19.

“Sejumlah 33 wilayah tidak mencatat kes baharu dalam tempoh 14 hari lepas,” katanya pada taklimat harian Covid-19 hari ini.

Dari Januari hingga Mac, Thaweesilp berkata kira-kira 36 peratus kes dikaitkan dengan mereka yang kembali dari luar negara manakala 20 peratus adalah golongan yang berkunjung ke pusat hiburan.

Dari bulan Mac hingga April,  36 peratus kes baharu dikaitkan dengan pesakit yang merupakan kontak rapat pesakit yang disahkan sebelum ini, kebanyakannya ahli keluarga manakala 14 peratus lagi adalah mereka yang melakukan perjalanan ke Thailand.

Memandangkan situasi di negara itu semakin pulih, ramai yang menggesa kerajaan menarik balik sekatan kerana Dekri Perintah Darurat akan berakhir pada 30 April.

Sesetengah pusat membeli-belah kini membuat persiapan untuk membuka semula dan kembali beroperasi seperti biasa. 

“Tidak pasti sama ada Perintah Darurat akan dilanjutkan atau sebaliknya, ia bergantung kepada penilaian dan tingkah laku rakyat,” katanya.

Ketika ini, beliau berkata negara itu mencatat kira-kira 30 kes baharu setiap hari.

“Ia memuaskan bagaimanapun belum cukup baik… kami perlu mengekalkan jumlah kurang dari 10 kes positif baharu setiap hari,” katanya.

Sementara itu BRUNEI DARUSSALAM mencatatkan satu kes baharu, melibatkan individu berusia 50 tahun yang tidak mempunyai sejarah perjalanan tetapi mempunyai kontak keluarga kes 33.

Kes 138 ini pernah menjalani ujian makmal pada 13 Mac tetapi negatif.

Menurut siaran akhbar Kementerian Kesihatan, semasa pemeriksaan susulan kes 33 semalam, mangsa didapati positif.

Dua lagi kes sembuh menjadikan 115 pulih sementara 22 kes lagi sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan di mana dua daripada kes memerlukan bantuan mesin pernafasan.

Hari ini juga seramai 125 masih menjalani kuarantin manakala 2,408 selesai menjalani kuarantin.

Pada masa yang sama, dua kes sebelum ini yang sembuh didapati positif semula menjadikan 18 kes di mana 13 masih menjalani pemeriksaan dan ujian.

Related posts

Leave a Comment