BUDAPEST – Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), JD Vance, berkata, AS tidak pernah membuat janji gencatan senjata perang merangkumi Lubnan.
Justeru beliau menggesa Iran supaya tidak membiarkan perjanjian gencatan senjata yang rapuh itu runtuh, susulan serangan Israel ke atas Lubnan, beberapa hari sebelum beliau dijadual mengetuai rundingan dengan Tehran di Pakistan.
“Saya fikir pihak Iran menganggap gencatan senjata itu merangkumi Lubnan, tetapi sebenarnya tidak. Kami tidak pernah membuat janji itu.
“Jika Iran mahu membiarkan rundingan ini gagal disebabkan isu Lubnan, yang tiada kaitan dengan mereka, dan yang tidak pernah sekali pun dinyatakan oleh AS sebagai sebahagian daripada gencatan senjata, itu akhirnya pilihan mereka,” katanya ketika berlepas dari Hungary, yang dilawatinya bagi menyokong peluang pemilihan semula Perdana Menteri, Viktor Orban.
Ketika Presiden Iran menyatakan gencatan senjata di Lubnan adalah syarat penting untuk menamatkan perang Asia Barat, Vance berkata, beliau percaya berlaku salah faham yang munasabah.
Sehari selepas Washington dan Tehran bersetuju melaksanakan gencatan senjata selama dua minggu, Israel melancarkan serangan paling hebat ke atas Lubnan sejak kumpulan Hizbullah yang disokong Iran, menyertai perang pada awal Mac.
Serangan itu mengorbankan sekurang-kurangnya 112 orang dan mencederakan ratusan yang lain, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.
Bagaimanapun, Vance berkata, Israel menawarkan untuk menunjukkan sikap lebih berhati-hati.
“Pihak Israel sebenarnya menawarkan untuk menahan diri sedikit di Lubnan kerana mereka mahu memastikan rundingan ini berjaya,” katanya.
Naib Presiden AS itu turut memberi amaran bahawa Presiden Donald Trump menjangkakan Iran menunaikan janji untuk membuka Selat Hormuz kepada laluan kapal minyak.
“Terus terang, jika mereka melanggar bahagian perjanjian mereka, maka mereka akan berdepan akibat yang serius,” katanya.
Menurut Rumah Putih, Vance dijadual mengetuai pasukan rundingan yang turut disertai wakil khas Steve Witkoff serta menantu Trump, Jared Kushner, ke Islamabad bagi rundingan secara bersemuka dengan Iran pada Sabtu ini.
Nnnn
