‘Pengiktirafan bukan untuk saya tetapi kepada negara’

PUTRAJAYA : Pengiktirafan kepada negara. Itu komen Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah apabila diminta memberi reaksi apabila dinamakan antara tiga doktor terbaik dunia dalam menangani Covid-19.

Beliau berkata pengiktirafan itu bukan untuk individu semata-mata. Tanpa  semangat kerja berpasukan, tidak mungkin Malaysia dapat meminimumkan risiko penularan pandemik itu.

Sebagai contoh, beliau berkata, Kementerian Kesihatan hanya boleh menasihatkan Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, tetapi itu adalah keputusan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

“Apa yang kita harus bersyukur, dan saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada semua kementerian dan menteri untuk melaksanakan PKP.

Kita kena lihat ada empat tindakan penting. Pertamanya kawalan sempadan – terima kasih kepada pihak Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia.

“Kawalan pergerakan dalam negara – pihak polis telah melaksanakan tugas untuk memastikan rakyat patuh kepada PKP. Dan terima kasih juga kepada petugas barisan hadapan, baik dari Kementerian Kesihatan, dan mereka yang tampil membantu,” katanya lagi.

Dr Noor Hisham Abdullah diletakkan dalam senarai tiga doktor terbaik dan diyakini di dunia atas usahanya menangani wabak Covid-19 di negara ini.

Pengiktirafan itu diberikan oleh sebuah stesen televisyen China, Global TV Network yang turut menyenaraikan Dr. Anthony Fauci dari Amerika Syarikat dan Dr. Ashley Bloomfield dari New Zealand.

Ketiga-tiga mereka menerima pujian masyarakat sejak beberapa minggu ini kerana menjadi sumber maklumat paling dipercayai dan berjaya menenangkan orang ramai di negara masing-masing ketika panik melanda akibat penularan wabak berkenaan.

Sebelum ini, beliau juga diberi gelaran ‘wira negara’ oleh beberapa pihak tetapi baginya ia bukan perkara penting. Sebaliknya, bagi beliau, apa paling utama ketika ini adalah bagaimana untuk menangani penularan wabak Covid-19 di negara ini.

“Sekarang ini bukan tentang saya, tetapi apa kami boleh lakukan terhadap Covid-19. Jadi pada saya tak penting (gelaran wira negara), yang penting adalah perkhidmatan,” katanya dalam satu sidang media.

Sesuai dengan jawatan disandangnya, Dr Noor Hisham mendapat pujian pelbagai pihak kerana tenang mengendalikan sidang media bagi memberi maklumat terkini penularan wabak merbahaya itu. Beliau menjawab setiap soalan yang dikemukakan dengan jelas bagi memudahkan laporan berita disiarkan.

Sehubungan itu, kata Dr Noor Hisham lagi, keutamaannya ketika ini adalah untuk memerangi wabak berkenaan daripada terus menular.

SEDIKIT MENGENAI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

1. Dilahirkan pada 21 April 1963 di Sepang, Selangor.
2. Berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang Surgeri dan Ijazah Doktor Perubatan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
3. Mula menyertai perkhidmatan awam sebagai Pegawai Perubatan pada Ogos 1988.
4. Dr Noor Hisham juga pernah melanjutkan pengajian dalam bidang Pembedahan Endokrin serta melakukan latihannya di beberapa universiti di Adelaide dan Sydney, Australia.
5. Pada 1994, beliau menyandang jawatan sebagai Pakar Bedah Umum sebelum bertugas sebagai Pakar Bedah Umum Hospital Putrajaya pada 2004.
6. Dr Noor Hisham menyandang jawatan sebagai Ketua Jabatan Pembedahan Payudara Endokrin dan Pembedahan Am di hospital sama sebelum bergelar Pakar Perunding Bedah Kanan Hospital Putrajaya pada 2007.
7. Pengalaman luas, kredibiliti serta pengetahuan luar biasa dalam bidang perubatan membolehkan beliau dilantik sebagai Ketua Pengarah Kesihatan bagi menggantikan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman pada 1 Mac 2013. Beliau sebelum itu memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) sejak 1 Februari 2008.
8. Selain resume mengagumkan, Dr Noor Hisham juga diberi mandat selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembedahan Global, Persatuan Pembedahan Antarabangsa (ISS) bagi sesi 2017 hingga 2021, iaitu rakyat Malaysia pertama diberi kepercayaan memegang jawatan itu.
9. Pada 3 April lalu, Dr Noor Hisham dipilih menyertai sekumpulan saintis dunia untuk membuat kajian memerangi pandemik Covid-19.
10. Beliau mempunyai seorang anak lelaki yang mengikut jejak langkahnya bergelar pegawai perubatan di hospital kerajaan di sebuah negeri di pantai timur tanah air.

Related posts

Leave a Comment