Beza manusia ‘stay at home’, haiwan duduk di kandang

MANUSIA duduk di rumah masih boleh keluar cari makanan. Tetapi haiwan di kandang atau di zoo? Mereka kekal di kandang, hanya menunggu makanan ‘disajikan’. Berlegarlah di dalam kandang, tidak ada apa yang boleh dicari untuk dimakan, kecuali yang makanannya adalah daun-daun pokok di dalam kandang.

Bagi yang makan daging, ayam, ikan, buah-buahan atau sayur-sayuran terpaksa menunggu penjaganya datang membawa makanan.

Begitulah nasib hidupan liar atau haiwan di zoo apabila mereka tidak mampu ke sana ke sini mencari makanan sendiri. Sama ada berlaku lockdown atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka tetap terkurung. Tidak seperti manusia, masih keluar mencari barang keperluan.

Kini ketika PKP atau lockdown di mana-mana sahaja di seluruh dunia, haiwan di zoo berdepan dengan masalah. Kos makanan mereka terjejas apabila zoo tidak memperoleh hasil jualan kutipan tiket atau sumber lain pada hari-hari biasa.

Kos makanan terpaksa dikeluarkan pihak yang mengendalikan zoo atau kerajaan atau mana-mana pertubuhan serta orang ramai. Apa pun situasinya, haiwan ini juga perlu hidup, tidak boleh dibiarkan mati.

Bukan sahaja di Malaysia, zoo seluruh dunia menghadapi masalah yang sama dan memerlukan kos yang tinggi untuk menyediakan makanan serta penjagaan. Mana mungkin membebaskan haiwan-haiwan ini seperti membebaskan tahanan di penjara.

Haiwan-haiwan ini sudah lama terpenjara serta dimanja dan akan menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu.

Di Berlin, sebuah  zoo di utara Jerman membayangkan untuk mengorbankan haiwan berkenaan sebagai habuan haiwan lain jika keadaan terdesak.

Zoo itu memohon bantuan derma daripada masyarakat untuk meneruskan operasi dan memberi makan haiwan dalam kurungan. Disebabkan penutupan, zoo yang biasanya  padat dengan pengunjung pada musim cuti kini tidak dapat beroperasi , sekali gus menjejaskan pendapatan bagi membeli makanan buat semua haiwan.

Pengarah zoo itu berkata jika keadaan terdesak, kemungkinan besar beberapa haiwan terpaksa dikorbankan untuk memberi makan kepada haiwan-haiwan lain, lapor BBC.

“Kami telah menyenaraikan haiwan yang akan disembelih dahulu,” kata pengarah Zoo Neumünster, Verena Kaspari kepada portal berita Die Welt.

Kaspari berkata, langkah mengorbankan beberapa haiwan itu walaupun “tidak menyenangkan” hanyalah usaha terakhir demi kelangsungan zoo.

Malah ia tidak akan menyelesaikan masalah kewangan dihadapi zoo itu susulan penutupan sementara operasinya.

“Jika terdesak, saya terpaksa mematikan haiwan ini daripada melihat ia menanggung azab kebuluran,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, anjing laut dan penguin memerlukan ikan segar dalam kuantiti banyak setiap hari.

Zoo yang terletak di Berlin itu dimiliki sebuah persatuan yang tidak layak mendapat bantuan dana kecemasan negeri untuk perniagaan kecil. Dianggarkan kerugian yang bakal dialami zoo tersebut pada musim bunga ini mencecah €175,000 (kira-kira RM832,000).

Di Malaysia, Zoo Negara baru-baru ini menerima bantuan RM1.3 juta menerusi Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

Sama seperti zoo lain, hasil jualan tiket Zoo Negara juga menyumbang pendapatan untuk menguruskan keperluan hidupan liar atau haiwan-haiwan  termasuk menyediakan makanan.

Penyerahan cek RM1.3 juta kepada pihak pengurusan Zoo Negara, Hulu Klang, Selangor, disempurnakan oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasara.

“Kementerian Tenaga dan Sumber Asli sehingga kini melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara telah mengeluarkan 34 permit kepada pengendali zoo dan kepada Pameran Tetap Hidupan Liar di seluruh negara.

“Maknanya bukan hanya di Zoo Negara tetapi ada 14 premis pengendali zoo di seluruh negara, 20 pusat Pameran Tetap Hidupan Liar yang turut terkesan,” katanya.

Selain berdepan dengan masalah makanan, turut membimbangkan kemungkinan haiwan-haiwan itu dijangkiti Covid-19.

Baru-baru ini di New York, seekor harimau Malaya di Zoo Bronx, disahkan positif Covid-19, dipercayai tersebar melalui penjaga zoo berkenaan yang tidak menunjukkan sebarang gejala virus itu.

Harimau diberi nama Nadia, 4, antara haiwan liar di zoo berkenaan mengalami batuk kering dan mungkin kes haiwan pertama dilaporkan sakit akibat dijangkiti Covid-19 daripada manusia.

Selain Nadia, seekor lagi harimau Malaya dinamakan Azul, dua ekor harimau Amur dan tiga singa Afrika turut dibimbangi dijangkiti Covid-19.

Sebelum ini, beberapa anjing peliharaan di Hong Kong dan seekor kucing di Belgium dilaporkan dijangkiti Covid-19 daripada pemiliknya, namun tidak mengalami simptom yang signifikan.

Related posts

Leave a Comment