UPSR,PT3 batal SPM,SVM tunda ke tahun 2021

PUTRAJAYA : UJIAN Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun 2020 dibatalkan manakala peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) ditunda kepada suku pertama tahun 2021.

Bagi calon STPM, tarikh peperiksaan Semester 2 diubah kepada bulan Ogos 2020, manakala peperiksaan Semester 3 akan diadakan dalam suku pertama tahun 2021.

Peperiksaan STAM juga akan diadakan dalam suku pertama tahun 2021.

Keputusan itu diumumkan oleh Menteri Kanan (Pendidikan) Dr. Radzi Jidin hari ini, hari pertama fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

KPM dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga bersetuju menangguhkan tarikh kemasukan baharu ke institusi pengajian tinggi (IPT) bagi program asasi, matrikulasi dan peringkat diploma sehingga Julai atau Ogos 2021 manakala program ijazah pada September atau Oktober 2021.

Beliau juga memberi jaminan bahawa, pembatalan UPSR tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid setelah mengikuti pendidikan peringkat rendah kerana penilaian boleh dilakukan dengan pelbagai kaedah lain.

Memandangkan keputusan UPSR dijadikan satu daripada kriteria pemilihan untuk kemasukan ke sekolah berasrama penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Maktab Tentera Diraja (MTD), KPM akan memperkenalkan kaedah baharu bagi tujuan ini yang tidak hanya tertumpu kepada prestasi akademik semata-mata.

Berikutan pembatalan PT3 pula satu kaedah baharu akan diperkenalkan dan hasil keputusan yang diperoleh dari kaedah ini akan dijadikan satu daripada kriteria pemilihan untuk kemasukan ke sekolah-sekolah khusus seperti sekolah berasrama penuh dan sekolah teknik.

Keputusan ini akan terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM. Sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM juga disarankan untuk turut mengikuti keputusan ini.

“KPM ingin menegaskan bahawa pembukaan semula sesi persekolahan selepas PKP adalah tertakluk kepada perkembangan semasa dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara,” katanya.

Keputusan untuk membuka semula sesi persekolahan hanya akan dibuat apabila kerajaan benar-benar yakin keadaan telah kembali pulih.

Pada peringkat ini, pembukaan sekolah hanya melibatkan kelas peperiksaan awam iaitu SPM, SVM, STPM, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara.

“Apabila sekolah dibuka semula, semua aspek keselamatan, kebersihan, dan pengawalan penularan jangkitan termasuklah amalan penjarakan sosial akan diberi keutamaan, “ katanya.

Related posts

Leave a Comment