Cubaan calar imej, kredibiliti – Fadhlina

KUALA LUMPUR 31 Mac –  Video tular di media sosial berkaitan isu kafir diambil di luar konsensus dan diselewengkan konteks yang disifatkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sebagai cubaan jahat mahu mencalarkan imej dan kredibilitinya.

Fadhlina juga menyifatkan tindakan itu turut berniat mencetuskan kekecohan dalam isu berkaitan 3R (agama, bangsa dan institusi raja) dengan memercikkan pemesongan makna ucapan sebenar sehingga beliau ditohmah dengan ujaran kebencian, tuduhan tidak benar dan fitnah selain diancam keselamatan.

Sehubungan itu, beliau berkata peguamnya dalam proses mengumpulkan bukti menerusi media sosial yang pelbagai termasuklah dalam bentuk hantaran, kongsian, komentar dan lain-lain medium.

“Kelihatan banyak pengguna media sosial bertindak di luar kawalan termasuk terlalu melampau dalam bereaksi.

Saya memohon maaf sekiranya ada mengguris perasaan mana-mana pihak, atas kesalahfahaman, keterlanjuran kata dan khilaf yang datang daripada kelemahan diri saya.

“Namun saya tidak kompromi soal fitnah dan tuduhan jahat, serta kesengajaan penyelewengan konteks, lebih-lebih lagi ancaman keselamatan terhadap diri saya dan keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menjelaskan mengenai video itu, Fadhlina berkata video tular itu adalah keratan yang diambil daripada pertemuan tertutup beliau dengan kumpulan tertentu, yang telah dirakam dan ditularkan dengan tafsiran di luar konteks untuk mencipta polemik dan bersifat fitnah.

Poster ini disengajakan penghasilannya untuk mencipta polemik bagi mengherotkan makna asal daripada keratan video tular, yang memaparkan saya sedang berucap dengan menyebutkan bahawa saya tidak membenarkan anak-anak saya mengungkapkan istilah ‘kafir’ di rumah.

“Dalam rakaman video tersebut (acara tertutup), saya menyinggung perihal penyebaran sentimen kebencian, sikap ghuluw (melampau) dan gejala takfiri dalam kalangan segelintir masyarakat, sehinggakan menuduh saya dengan tuduhan fitnah, hidup saya tidak berkat kerana saya bekerja untuk orang kafir.

Fadhlina menegaskan beliau melarang anak-anaknya menyebut istilah kafir kerana ia mempunyai konotasi kebencian terhadap kaum bukan Islam yang sama-sama tinggal di negara ini.

Beliau menjelaskan, isu sebutan kafir atau bukan Islam bukanlah tindakan beliau melarang penggunaan perkataan dalam al-Quran, apatah lagi menafikan istilah yang digunakan di dalam kitab berkenaan.

“Ia adalah suatu isu memilih panggilan bersesuaian dalam kehidupan seharian. Malah, Almarhum Shaykh Dr Yusuf al-Qaradawi dan juga Shaykh Prof Dr Ibrahim al-Hudhud (mantan rektor Universiti Al-Azhar) mengakui panggilan ‘ghayru Muslim’ (bukan Islam) untuk digunakan termasuklah dalam penggunaan panggilan sosial.

“Hakikatnya, langsung tidak timbul isu menghalang penggunaan istilah dalam al-Quran, malah tiada penafian istilah daripada al-Quran sebagaimana didakwa pihak-pihak tertentu.

“Pastinya saya sayangkan agama dan prinsip-prinsip Islam adalah pegangan dalam menjalani kehidupan sehari-hari.

“Jadi, tidak timbul isu saya terseleweng daripada agama, justeru tuduhan jahat, melampau, dan bersifat menghina, serta takfiri tidak terlepas daripada radar pemerhatian untuk tindakan lanjut di sisi lunas undang-undang kerana ia jelas melanggar prinsip akhlak dan karamah insaniah,” katanya.

Sebelum itu, tular satu video yang memaparkan Fadhlina menolak penggunaan label kafir dan mengharamkan anak-anak beliau menggunakan perkataan tersebut di rumah.

Susulan itu pelbagai pihak memberi reaksi membidas “kenyataan “ itu dan  membuatkan Fadhlina menerima pelbagai reaksi negatif daripada netizen sehingga mengancam keselamatan dirinya.

Related posts

Leave a Comment