PM tidak perlu berunding bubar Parlimen

KUALA LUMPUR 28 Okt. – Mahkamah Tinggi di sini memutuskan bahawa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak perlu berunding dengan anggota Kabinetnya untuk meminta Yang di-Pertuan Agong (YDPA) membubarkan Parlimen.

Hakim  Ahmad Kamal Md Shahid berkata Ismail Sabri berhak membuat keputusan sendiri kerana itu adalah hak mutlak beliau sebagai Perdana Menteri.

“Saya berpandangan bahawa memandangkan pembubaran Parlimen dibuat mengikut Perkara 42 (b) Perlembagaan Persekutuan, tiada lagi keperluan bagi mendapatkan nasihat Kabinet di bawah Perkara 40 (1) dan Perkara 40 (1A) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) telah bertindak mengikut budi bicara baginda sendiri bagi membubarkan Parlimen atas permintaan Perdana Menteri mengikut Perkara 42 (b) Perlembagaan Persekutuan.

Baginda tidak terikat dengan nasihat Perdana Menteri atau Kabinet dalam melaksanakan tugas baginda di bawah Perkara 42 (b).

“Saya berpandangan bahawa memandangkan peranan dan kuasa mutlak untuk meminta Parlimen dibubarkan terletak sepenuhnya di tangan Perdana Menteri, hujahan pemohon yang mencabar kesahihan permintaan itu tidak mempunyai merit.

Perdana Menteri boleh meminta agar Parlimen dibubarkan tanpa nasihat Kabinetnya dan pada akhirnya, Yang di-Pertuan Agong  mempunyai budi bicara sama ada menerima atau menolak permintaan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membenarkan permohonan Ismail Sabri, kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membatalkan saman penyandang kerusi Parlimen Klang Charles Santiago yang difailkan pada 11 Oktober lepas.

Ahmad Kamal juga berkata YDPA adalah seorang raja berperlembagaan dan ketua negara manakala Perdana Menteri adalah ketua kerajaan dan kuasa eksekutif terletak di tangan beliau.

Beliau berkata Perkara 40 (1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan memperuntuk bahawa YDPA adalah terikat dengan nasihat Kabinet dalam menjalankan tugas baginda kecuali dalam beberapa perkara seperti peruntukan di bawah Perkara 40 (2) Perlembagaan Persekutuan.

“Perdana Menteri juga, sebagai ketua kerajaan mempunyai kuasa mutlak untuk melantik Kabinet pilihannya. Kuasa yang dimiliki oleh seorang Perdana Menteri termasuk menaikkan pangkat, memecat dan melantik menteri pilihannya, pada satu-satu masa, atas alasan yang difikirkan wajar,” katanya.

Hakim itu berkata Perdana Menteri berhak menyatakan isu mana yang perlu dilaporkan kepada beliau secara peribadi atau untuk diputuskan di luar Kabinet.

“Sebagai Perdana Menteri, beliau tidak terikat dengan nasihat Kabinet. Beliau mungkin, atas inisiatif sendiri, berunding dengan rakan sekutunya atau seorang dua menteri dalam ‘Kabinet dalaman’ untuk membuat keputusan. Beliau tidak perlu berunding dengan Kabinet berhubung cadangan belanjawan, inisiatif dasar luar atau menasihati YDPA dalam membubarkan Parlimen,” katanya.

Ahmad Kamal juga berkata mahkamah berpendapat bahawa Santiago tidak mempunyai kausa tindakan munasabah terhadap defendan atas alasan pengisytiharan dan pembubaran Parlimen adalah perkara yang tidak boleh diadili.

Kuasa prerogatif untuk membubarkan Parlimen terletak sepenuhnya pada YDPA, yang memiliki budi bicara mutlak memberi perkenan kepada permintaan untuk membubarkan Parlimen mengikut Perkara 40(2)(b) Perlembagaan Persekutuan.

“Kuasa Perdana Menteri untuk meminta agar Parlimen dibubarkan juga adalah perkara yang tidak boleh diadili. Sebagai ketua Badan Eksekutif, permintaan beliau untuk membubarkan Parlimen tidak memerlukan beliau berunding dengan anggota Kabinet,” katanya.

Saman itu tambah beliau dengan jelas adalah satu skandal, remeh, menyusahkan dan penyalahgunaan proses mahkamah.

Justeru, mahkamah memerintahkan plaintif membayar kos RM20,000 kepada defendan.

Santiago dalam samannya, antara lain, memohon pengisytiharan bahawa permintaan Ismail Sabri kepada YDPA pada Oktober lepas untuk membubarkan Parlimen ke-14 adalah bercanggah dengan Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan kerana tidak dibuat atas nasihat Kabinet, oleh itu adalah terbatal serta tidak sah.

Beliau juga meminta agar SPR dihalang daripada menjalankan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berikutan musim banjir.

Ahmad Kamal turut menolak permohonan kebenaran seorang pengundi di kawasan Pandan untuk semakan kehakiman bagi mencabar pembubaran Parlimen dan penganjuran PRU15 semasa musim tengkujuh yang sering berdepan bencana banjir pada akhir tahun ini.

Dr Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar, yang juga seorang peguam, memfailkan permohonan itu dengan menamakan pengerusi SPR, Ismail Sabri dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Beliau memutuskan bahawa pembubaran Parlimen tidak boleh diadili dan adalah isu untuk dipertimbang dalam lingkungan badan Eksekutif dan Legislatif yang tidak harus dilayan oleh badan kehakiman dengan berhati-hati.

Related posts

Leave a Comment