Pas tanding 7, Bersatu 1 di Terengganu

KUALA TERENGGANU 28 Okt. – Pas akan meletakkan calonnya di Parlimen Besut bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kata Pesuruhjaya Pas Terengganu, Husain Awang.

Ini bermakna Pas akan bertanding di tujuh kerusi Parlimen iaitu Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Dungun, Setiu, Kemaman dan Besut manakala Bersatu hanya satu kerusi iaitu di Parlimen Hulu Terengganu.

Husain berkata, keputusan mengenai pembahagian kerusi itu diperoleh hasil perbincangan antara kepemimpinan Pas dan Bersatu.

Sebelum Parlimen dibubarkan, Pas mempunyai enam kawasan manakala UMNO dan Bersatu masing-masing satu kerusi. Bagaimanapun kerusi Bersatu adalah hasil wakil rakyat UMNO yang melompat parti.

“Kekosongannya ialah Besut, maka kita memutuskan bahawa Besut juga akan ditandingi oleh calon Pas dan keputusan itu dibuat tidak sampai tiga minit,” katanya ketika Majlis Perasmian Markas Induk PRU-15 dan Jentera Pilihan Raya Pas Kawasan Kuala Terengganu di Dataran Wisma Ko-Khidmat di sini malam tadi

Kerusi Besut sebelum ini disandang oleh Idris Jusoh (UMNO) yang baru-baru ini mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi itu bagi memberi laluan kepada muka baharu.

Menurut Husain, keputusan meletakkan Pas di Parlimen Besut dilakukan atas persetujuan bersama kedua-dua parti tanpa membuat penilaian dan perbandingan parti mana yang lebih kuat atau sebaliknya.

“Ia dibuat di atas asas bahawa untuk memperteguhkan parti di peringkat negeri, maka perlu kepada Pas bertanding,” katanya.

Related posts

Leave a Comment