Tiada kes baharu di Brunei

THAILAND buat hari kelima mencatatkan penurunan kes harian apabila hari ini merekodkan 28 kes baharu dan dua kematian menjadikan kes keseluruhan 2,579 dengan 40 kematian.

Sehingga kini 1,288 pesakit telah sembuh dan dibenarkan pulang.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thailand Thaweesilp Wissanuyothin berkata kes kematian terbaharu melibatkan dua lelaki Thailand masing-masing berumur 56 dan 43.

“Kita tidak sepatutnya berpuas hati dengan situasi semasa kerana keadaan sebenarnya masih tidak menentu,” katanya pada taklimat harian Covid-19 hari ini.

Thaweesilp berkata statistik menunjukkan sejak dua minggu lepas, sumber utama jangkitan baharu di negara itu – 864 kes melibatkan kontak rapat dengan pesakit yang disahkan, 287 kes mereka yang kembali dari luar negeri dan 243 kes berkaitan dengan stadium muay thai.

Di INDONESIA, jumlah kematian akibat Covid-19 di seluruh negara itu kini meningkat kepada 399 orang, dengan lebih 200 kematian itu berlaku di Jakarta.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19 Achmad Yurianto berkata, sebanyak 26 lagi kematian berlaku dalam tempoh 24 jam.

“Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini juga, sebanyak 316 kes positif baharu, menjadikan kes positif kini sebanyak 4,557,” katanya.

Provinsi Jakarta mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu sebanyak 204 kes, diikuti Jawa Barat (52 kes), Jawa Timur (30) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

BRUNEI pula kekal dengan 136 kes apabila tidak ada kes baharu dilaporkan sementara satu kes yang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan (PPK) telah sembuh dan dibenarkan pulang.

Menurut siaran akhbr Kementerian Kesihatan, jumlah sembuh kini 107 manakala 28 kes aktif sedang dirawat termasuk dua dalam keadaan kritikal.

Berdasarkan pemantauan terhadap bekas pesakit, tujuh orang didapati positif semula bagi virus SARS-Cov-2 yang menjadikan lapan orang. Mereka dimasukkan semula ke PPK dan dikuarantin selama 14 hari.

SARS-Cov-2 sejenis virus baharu yang dikenalpasti awal tahun ini  dan banyak yang belum diketahui mengenainya.

Seramai 112 orang juga masih dikuarantin manakala jumlah yang selesai kuarantin seramai 2,369. Di samping itu, 1,451 orang telah tamat tempoh pengasingan diri mandatori di pusat pemantauan kerajaan.

Di FILIPINA, sehingga pukul 4 petang ini, Jabatan Kesihatan melaporkan 284 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan yang dijangkiti Covid-19 adalah 4,932.

Bagi tempoh yang sama, sebanyak 18 kematian dilaporkan menjadikan 315 kes sementara kes pulih pula 45 menjadikan 242 kes.

Related posts

Leave a Comment