HARI pertama arahan ‘Pemutus Litar’ menyaksikan lebih 7,000 nasihat bertulis diberikan kepada orang awam yang didapati melanggar langkah jarak selamat yang dikuatkuasakan mulai semalam, 7 April.
Mulai hari ini tindakan lebih tegas akan diambil, mengeluarkan amaran keras yang akan membawa hukuman denda terhadap mereka yang masih berkumpul di tempat awam
Bagi tujuan penguatkuasaan, dalam satu kenyataan Kementerian Sekitaran dan Sumber Air (MEWR) mengerahkan lebih dari 2,000 Duta Jarak Selamat dan SG Clean serta Pegawai Penguatkuasaan ke kawasan perumahan HDB termasuk pasar, pusat penjaja dan kelab masyarakat.
Orang awam perlu mengelakkan dari berkumpul di kolong blok, taman permainan atau taman masyarakat, meskipun mereka tidak melakukan apa-apa dan hanya berbual.
Di bawah Rang Undang-Undang Covid-19 (Langkah Sementara) yang diluluskan di Parlimen pada Selasa, pesalah kali pertama akan dikenakan denda sehingga $10,000, penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya.
Bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya, denda sehingga $20,000, dipenjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya.
Sementara itu, BH Singapura melaporkan keadaan di tempat-tempat tumpuan ramai lengang dan sepi semalam.
Kunjungan ke kawasan yang sibuk dengan orang ramai dan pelancong berubah sama sekali. Hanya segelintir orang sahaja dilihat lalu-lalang.
Warga Singapura kelihatan rata-rata menuruti arahan yang dikeluarkan Pemerintah agar rakyat membataskan pergerakan.
Tidak lagi kelihatan orang ramai ‘melepak’ di kedai-kedai kopi. Hanya pembelian makanan secara bungkus atau tempahan pengiriman sahaja dibenarkan.
Sedang orang ramai diarah bekerja dari rumah, suasana di Shenton Way dan sekitar pusat bandar juga lengang.
Begitu juga di Marina Bay, yang selalunya menjadi tempat tumpuan pelancong.
Keadaan di pusat tumpuan terbaharu, Jewel, di Lapangan Terbang Changi, juga menampakkan keadaan serupa.
Langkah lebih ketat diambil sedang Singapura berusaha gigih mengekang penularan Covid-19.
Semalam, Kementerian Kesihatan melaporkan 106 kes baru, dengan 103 daripadanya merupakan kes tempatan sedang tiga lagi adalah kes import.
Secara keseluruhannya, republik ini menghadapi sejumlah 1,481 kes koronavirus.