BENARLAH kata Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, ramai yang kreatif apabila duduk lama di rumah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. Tidak dinafikan, di mana-mana sahaja, situasinya begitu. Idea datang dalam pelbagai perkara berkaitan kehidupan yang terkurung di rumah sendiri.
Maka tidak hairanlah, ada yang menamakan anak baharu mereka dengan nama-nama yang ada kaitan dengan wabak ini, antaranya Lockdown, Covid dan Corona.
Tidak terkecuali di India, apabila nama-nama itu menjadi pilihan bukan sahaja dikaitkan dengan perintah berkurung dan wabak Covid-19 tetapi sebagai simbol penyatuan penduduk dunia memerangi wabak itu.
Baru-baru ini, akhbar The Indian Express melaporkan, pasangan yang tinggal di Sheopur, Madya Pradesh menamakan anak lelaki mereka ‘Lockdown’, sebagai tanda bersama rakyat memerangi wabak itu. Raghunath Mali dan isteri, Manju, 24 tahun, penduduk kampung Bachheri menyambut kelahiran anak mereka di sebuah hospital swasta pada 6 April lalu.
Kenapa Lockdown? Mali, seorang petani berkata, ia akan sentiasa mengingatkan mereka tentang tempoh sukar yang dihadapi akibat Covid-19 sekarang.
“Isteri saya melahirkan anak lelaki kelmarin. Apabila ingin meletakkan nama di surat beranak, saya dan isteri memutuskan untuk menamakannya ‘Lockdown’,” kata Mali.
Sebelum ini, di negeri Chhattisgarh, tengah India, satu pasangan menamakan anak kembar mereka ‘Corona’ dan ‘Covid’, lapor laman berita, India Today, minggu lalu.
Sedang nama itu menimbulkan rasa takut dan kebimbangan dalam kalangan orang ramai, pasangan yang menetap di ibu kota negeri, Raipur, menyifatkan nama itu menggambarkan kejayaan mengharungi kesukaran.
Bayi kembar lelaki dan perempuan itu, dilahirkan semasa India melaksanakan perintah berkurung serata negara, di tengah malam antara 26 dan 27 Mac, di hospital kerajaan di Raipur.
Bagaimanapun, pasangan itu berkata mereka mungkin menukar nama kedua-dua anak mereka, yang dilapor agensi berita tempatan Press Trust of India (PTI).
“Saya amat bertuah kerana menerima anak kembar – seorang lelaki dan seorang perempuan – pada awal 27 Mac. Kami namakan mereka Covid (lelaki) dan Corona (perempuan) buat masa ini,” kata Preeti Verma, ibu berusia 27 tahun itu.
Mereka mahu menjadikan hari kelahiran bayi itu satu kenangan selepas menghadapi beberapa kesukaran dalam tempoh perintah berkurung..
“Sememangnya virus ini merbahaya dan mengancam nyawa tetapi penularan ini membuat orang ramai memberi tumpuan kepada sanitasi, kebersihan, penjagaan diri dan memupuk amalan baik. Oleh itu, kami memikirkan nama-nama ini,” katanya, sambil berkongsi bagaimana timbulnya keputusan dalam menamakan anak mereka.
“Apabila kakitangan hospital mula memanggil bayi sebagai Corona dan Covid, kami akhirnya memutuskan untuk menamakan mereka mengikut pandemik yang berlaku,” tambahnya yang berasal dari Uttar Pradesh, dan tinggal di Purani Basti, di Raipur.
Satu laporan lain menyebut, bayi lelaki yang dilahirkan di Khukhundu, daerah Deoria Uttar Pradesh pada 30 Mac lalu juga dinamakan Lockdown sebagai tanda menghargai keputusan Perdana Menteri Narendra Modi mengisytiharkan perintah berkurung bagi mengawal wabak itu.
“Dia dilahirkan semasa lockdown. Kami hargai Perdana Menteri untuk menyelamatkan rakyat daripada wabak ini. Lockdown ada kaitan dengan kepentingan negara,” kata bapa bayi itu, Pawan.
Menurut Pawan, buat ketika ini, beliau meminta saudara maranya tidak mengunjungi mereka sehinggalah tempoh perintah berkurung berakhir. Mereka juga menangguhkan acara sambutan yang biasanya diadakan setiap kali menyambut kelahiran bayi baharu.
Minggu lalu, seorang bayi perempuan yang dilahirkan di kampung Sohgaura, Gorakhpur pada hari perintah berkurung dinamakan Corona oleh bapa saudaranya Nitesh Tripathi sebagai simbol penyatuan penduduk dunia untuk menentang wabak ini.
(FOTO HIASAN COVER INDIA TODAY)