Haiwan Zoo Negara dilindungi

KUALA LUMPUR 7 April  – Haiwan di Zoo Negara juga akan dilindungi daripada wabak Covid-19 apabila media antarabangsa melaporkan seekor harimau Malaya di Zoo Bronx, New York disahkan positif Covid-19

Harimau itu dipercayai terdedah kepada seorang kakitangan zoo yang positif tetapi tidak menunjukkan gejala ketika menjaga haiwan berkenaan.

Pengarah Veterinar Zoo Negara Dr Mat Naim Ramli seperti dilaporkan Bernama berkata pihaknya meminimumkan pergerakan penjaga zoo ke kandang-kandang serta waktu bekerja mereka dihadkan hanya empat jam sehari. Terdapat 300 spesies haiwan di situ.

“Oleh kerana sudah ada dua tiga kes membabitkan penjangkitan daripada manusia kepada haiwan dilaporkan, maka langkah berjaga-jaga perlu diambil terutamanya bagi mereka yang sentiasa terdedah kepada haiwan ataupun bekerja di zoo,” katanya.

Secara amnya, beliau berkata ada kemungkinan jangkitan boleh berlaku daripada manusia kepada haiwan jika pesakit itu melakukan kontak rapat terhadap haiwan tetapi setakat ini tiada bukti jelas bahawa jangkitan haiwan peliharaan boleh merebak kepada manusia atau haiwan lain. 

Dr Mat Naim berkata, haiwan yang dijangkiti mungkin tidak menunjukkan tanda-tanda jangkitan atau mengalami tanda jangkitan rendah.

“Setakat ini, kita tidak ada ‘test kit’ COVID-19 khusus kepada haiwan peliharaan di klinik-klinik veterinar, jadi tidak gunanya berpusu-pusu ke klinik jika anjing atau kucing mereka didapati ada simptom batuk dan selesema. 

“Yang penting jaga kebersihan diri, rajin basuh tangan terutamanya sebelum dan selepas mengendalikan haiwan,” katanya. 

Sementara itu, Dr Mat Naim berkata pihaknya menyambut baik sumbangan orang ramai terutamanya berbentuk makanan haiwan dan peralatan pembersihan zoo. 

“Setakat ini, kami sudah mengumpul kira-kira RM200,000 kutipan derma daripada pelbagai pihak dan orang ramai terhadap lebih 300 jenis haiwan yang ada di Zoo Negara dan kami masih lagi perlu sumbangan dari segi sayur-sayuran dan buah-buahan untuk makanan. 

“Oleh itu, mereka yang berminat untuk menderma sumbangan makanan haiwan dan alat-alat pembersihan zoo seperti plastik sampah, penyapu dan seumpama boleh menghubungi 03-41083422 bagi maklumat lanjut,” katanya.  

 

Related posts

Leave a Comment