PKPD di Selangor Mansion

PUTRAJAYA : Mulai hari ini, bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Jalan Masjid India diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan terdapat 15 kes positif Covid-19 di kawasan berkenaan.

Ini merupakan lokasi keempat dikenakan PKPD selepas Simpang Renggam, Kluang, Johor; tujuh buah kampung di Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor dan Menara Plaza City One di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan),  Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD ini akan melibatkan penghuni di 365 unit rumah dan premis perniagaan. Dalam tempoh perintah itu, proses pengesanan kes unit ke unit akan dilakukan sehingga selesai.

Dengan pelaksanaan perintah ini, semua penghuni tidak dibenarkan keluar dari kawasan itu, bukan penghuni dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan tersebut; sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan semua aktiviti perniagaan dihentikan kecuali premis barangan keperluan.

Penghuni boleh membuat pesanan makanan yang boleh dihantar dan diambil di tempat yang ditetapkan, pangkalan Perubatan (Medical Base) dibuka di kawasan PKPD. Semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup.

Related posts

Leave a Comment