Tiga kematian, 156 kes baharu

PUTRAJAYA 30 Mac – Tiga kematian dan 156 kes positif baharu Covid-19 dilaporkan sehingga 12 tengah hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes yang dicatatkan di negara ini adalah 37 kematian dan 2,626 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan,  Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga kini, seramai 94 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, 62 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Kes kematian ke-35 (kes ke-1952) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 57 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis. Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke negara Indonesia. Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh dan disahkan meninggal dunia pada 29 Mac 2020 pukul 4.00 petang.

Kes kematian ke-36 (kes ke-1941) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 47 tahun. Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 23 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 30 Mac 2020 pukul 8.10 pagi.

“Kes kematian ke-37 (kes ke-2471) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 46 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan penyakit autoimun. Beliau telah dirawat di Hospital Miri, Sarawak dan disahkan meninggal dunia pada 30 Mac 2020 pukul 9.02 pagi,” katanya dalam sidang media harian di sini.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, terdapat peningkatan 70 hospital menyediakan perkhidmatan saringan Covid-19 di semua negeri berbanding 57 sebelum ini.

“Hospital merawat Covid-19 bertambah daripada 26 ke 38 buah, melalui kerjasama Angkatan Tentera Malaysia dan pihak hospital unversiti iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya.

“Tujuh daripada hospital tersebut merupakan hospital khusus untuk rawatan pesakit Covid-19. Justeru, bilangan katil untuk rawatan Covid-19 telah bertambah kepada 3,994 buah katil,” ujarnya.

Jelas beliau, KKM juga sedang merancang menambahkan bilangan katil menerusi pengenalpastian dan pengubahsuaian Institusi Latihan KKM (ILKKM) untuk menjadi pusat kuarantin dan rawatan dengan jumlah katil sebanyak 1,937 buah.

Related posts

Leave a Comment