LONDON: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson hari ini meletakkan dirinya di bawah kuarantin selepas disahkan positif Covid-19.
“Dalam tempoh 24 jam lalu, saya mengalami simptom awalan dan ujian mendapati positif untuk coronavirus, dengan kenaikan suhu badan dan batuk berterusan.
“Saya sekarang akan mengasingkan diri tetapi terus menerajui usaha kerajaan menerusi sidang video dalam memerangi virus ini,” katanya melalui ciapan di laman Twitter.
Jurucakap Downing Street (kediaman rasmi Perdana Menteri Britain) berkata Perdana Menteri menjalani ujian Covid-19 atas nasihat peribadi Ketua Pegawai Perubatan England, Prof Chris Whitty.
“Ujian terbabit dilakukan di No 10 Downing Street oleh kakitangan Khidmat Perubatan Kebangsaan (NHS) dan keputusannya positif,” katanya.
Johnson, 55, merasai simptom awal Covid-19 semalam, sehari selepas menjawab soalan pada sesi soal jawab mingguan bersama perdana menteri di Parlimen.
Belum dapat dipastikan berapa ramai kakitangan di Downing Street dan menteri kanan yang kini perlu mengasingkan diri berikutan kemungkinan ada hubungan dengan Johnson.
Selain itu, pasangan Johnson, Carrie Symonds, 32, yang kini mengandung, belum dipastikan sama ada sudah menjalani ujian Covid-19.
Sebelum ini, kerajaan Britain memaklumkan, Johnson ada pilihan menurunkan kuasa kepada Setiausaha Luar Negara, Dominic Raab, jika perlu.
Sebelum ini, Putera Charles, 71, anak sulung Queen Elizabeth yang juga pewaris takhta British, diuji positif COVID-19, kata anggota rumahnya.
Beliau dan isteri, Duchess of Cornwall, yang disahkan negatif COVID-19, mengasingkan diri di rumah di Scotland.
Setakat ini UK mencatatkan 14,579 kes dengan kematian melonjak kepada 759 orang. Statistik ini adalah yang kelapan terburuk di dunia selepas Amerika Syarikat, China, Itali, Sepanyol, Jerman, Iran dan Perancis.