Sistem beraja dipertahan tanpa tolak ansur

KUALA LUMPUR 5 Jun – Kerajaan akan mempertahankan sistem beraja dengan memastikan tindakan yang setimpal diambil ke atas mana-mana pihak yang cuba mengancam institusi itu dan keluhuran Perlembagaan.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak akan bertolak ansur atau membenarkan sistem beraja diperolok dan diganggu-gugat atas nama kebebasan di negara ini.

“Sesuai dengan bidalan Melayu bahawa ‘biar patah dayung di tangan, dengan jari ku kayuh jua’. Raja laksana pohon dan tentunya institusi ini mesti tersemat dipelihara dengan baik,” katanya.

Anwar berucap demikian ketika merafak sembah ucapan tahniah pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 di Istana Negara hari ini.

Istiadat berkenaan berlangsung bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Anwar berkata, Kerajaan Perpaduan yang lahir daripada cetusan kebijaksanaan Seri Paduka, telah berjaya mempertaut kesatuan dan permuafakatan, sekali gus mewujudkan kestabilan dalam politik negara.

Beliau berkata, ia memberi ruang ke arah pertumbuhan ekonomi negara, keyakinan pelabur domestik dan luar negara, mengatur tatakelola pemerintahan yang mampan dan wajar dalam menjamin kesejahteraan serta keselesaan rakyat.

Katanya, Kerajaan Perpaduan beriltizam untuk berusaha dengan tekun memacu pertumbuhan dan mempertahankan keadilan dan nilai murni manusiawi dengan berbekalkan tekad serta semangat Membangun Malaysia Madani.
.
Anwar turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka.

Related posts

Leave a Comment