Malaysia catat 235 kes baharu

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan 235 kes baharu dengan empat lagi kes kematian akibat Covid-19, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia sebanyak 23 kes.
Ketua Pengarah KKM, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat 12 tengah hari Khamis, terdapat jumlah kes positif di negara ini meningkat kepada 2,031 kes.
Dr Noor Hisham berkata, berdasarkan siasatan awal, daripada 235 kes baharu yang dilaporkan, sebanyak 60 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling manakala baki 175 kes masih lagi dalam siasatan dan mungkin berkaitan dengan lain-lain kluster.
“Sehingga kini, seramai 45 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 32 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang media hari ini..
Katanya lagi, kes kematian ke-20, ke-21 dan ke-22 pernah menghadiri ijtimak tabligh.
“Kes kematian ke-20 merupakan kes ke-780, lelaki warganegara Malaysia berumur 76 tahun. Beliau merupakan peserta perhimpunan di Sri Petaling dan dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra, Kelantan mulai 18 Mac 2020.
“Kes kematian ke-21 merupakan kes ke-1588, lelaki warganegara Malaysia berumur 63 tahun. Beliau juga merupakan peserta perhimpunan di Sri Petaling dan telah dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah pada 23 Mac 2020.
“Kes kematian ke-22 merupakan kes ke-1797, lelaki warganegara Malaysia berumur 48 tahun. Beliau mempunyai latar belakang penyakit kronik. Beliau juga telah menghadiri perhimpunan di Sri Petaling dan juga mempunyai kontak rapat dengan kes positif COVID-19 yang menghadiri perhimpunan yang sama,” katanya.
Beliau juga berkata, kes kematian ke-23 pula merupakan kes ke-1840, lelaki warganegara Malaysia berumur 62 tahun daripada Kajang.
Beliau mempunyai latar belakang penyakit kronik, dirawat di Hospital Raja Perempuan Bainun, Ipoh, Perak mulai 23 Mac 2020. Kes beliau masih dalam siasatan sekiranya mempunyai kaitan dengan mana-mana kluster Covid-19.
Sementara itu, Seramai 80 anggota kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) disahkan positif Covid-19.
Beliau berkata siasatan mendapati punca jangkitan yang dialami kesemua anggota kesihatan itu bukan daripada pengendalian kes positif Covid-19 di fasiliti kesihatan KKM.
Namun begitu, semua anggota kesihatan dan barisan hadapan dinasihati supaya mengamalkan langkah pencegahan seperti disarankan terutamanya memastikan tangan sentiasa bersih, mengamalkan jarakan sosial dan memakai alat pelindung diri (PPE) mengikut keperluan yang ditetapkan.

Related posts

Leave a Comment