1.3 bilion berkurung di India

NEW DELHI: India yang mempunyai 1.3 bilion penduduk turut mengumumkan pelaksanaan perintah berkurung di seluruh negara bagi membendung wabak Covid-19.

Perdana Menteri Narendra Modi dalam perutusannya melalui televisyen malam tadi berkata, perintah berkurung selama tiga minggu itu bermula pada pukul 12 tengah malam Selasa waktu tempatan.

“Untuk selamatkan India, rakyat, anda dan keluarga anda… semua jalan dan kawasan kejiranan akan ditutup,” katanya.

Beliau memberi amaran jika India tidak dapat menguruskan pandemik ini dalam masa 21 hari akan datang, negara dan penduduknya akan kembali semula kepada 21 tahun lalu, dan banyak keluarga akan hilang selama-lamanya.

Modi bagaimanapun berkata, pengecualian perintah berkurung itu diberikan kepada beberapa sektor perkhidmatan penting negara dan industri kritikal.

Perintah itu mewajibkan semua rakyatnya untuk tinggal di rumah masing-masing semasa perintah berkurung demi keselamatan mereka.

Beliau memberi jaminan bahawa beberapa mekanisme akan dikawal oleh kerajaan bagi memastikan bekalan bahan-bahan penting disediakan dalam tempoh terdekat.

Modi berkata, kerajaan dan pakar telah mengkaji situasi wabak di negara-negara lain selama dua bulan ldan mendapati perintah berkurung adalah langkah penyelesaian bagi membendung wabak.

Wabak Covid-19 di India setakat ini mencatatkan 519 kes positif dengan 10 kematian.

Related posts

Leave a Comment