Mendepani musuh tanpa wajah

SELAMAT MENYAMBUT PERINGATAN HARI POLIS

SELAMAT menyambut Peringatan Hari Polis ke-213. Pada hari ini, tiada sambutan seperti masa lalu kerana negara sedang berhadapan dengan musuh yang tidak kelihatan iaitu Covid-19. Akibat wabak ini, polis juga perlu menghormati dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan oleh Kerajaan.

Sebelum ini, 25 Mac dilihat sebagai tarikh keramat untuk mengenang jasa dan pengorbanan wira-wira terdahulu yang berjuang demi kedaulatan dan keamanan negara tetapi pada tahun ini meraikan pengorbanan warga PDRM, yang sanggup mengenepikan keselamatan diri sendiri, demi melindungi masyarakat daripada ancaman wabak maut Covid-19. 

Seperti perutusan Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, “ Kesediaan kita meletakkan diri dalam situasi berisiko tinggi, yang boleh mendedahkan kita pada jangkitan wabak tersebut, adalah bukti nyata, tentang sejauh mana kita sanggup berkorban untuk masyarakat dan negara,”.

Beliau berbangga dan menjunjung tinggi pengorbanan setiap warga PDRM, yang ikhlas menggalas tanggungjawab yang diamanahkan, meskipun terpaksa berhadapan dengan risiko yang boleh mengancam nyawa sendiri. Walaupun badai datang melanda, bercerai jasad dan nyawa, kita sanggup melakukan apa sahaja demi kesejahteraan dan kepentingan masyarakat seluruhnya.

“Saya mengajak seluruh warga Pasukan untuk mempasakkan tekad dan membulatkan iltizam, dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, agar rantaian penularan Covid-19 dapat diputuskan. Tindakan ini amatlah penting bagi mengelakkan berlakunya gelombang ketiga, yang berupaya membawa implikasi yang lebih serius kepada kesejahteraan rakyat Malaysia. Sesungguhnya inilah jihad kita, demi agama, bangsa dan negara,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kasih kepada masyarakat atas segala sokongan dan kerjasama yang telah diberikan kepada PDRM selama ini, lebih-lebih lagi dalam keadaan semasa di mana kerjasama rakyat Malaysia, amat diperlukan dalam membendung penularan wabak Covid-19.

“Bantulah kami, untuk membantu anda, dan sama-samalah kita berdoa kepada Yang Maha Esa, semoga dugaan yang kita hadapi ketika ini, akan segera berakhir dan kita dapat kembali menjalani kehidupan harian seperti biasa,” katanya.

Related posts

Leave a Comment