Subuh yang sepi…

APABILA Masjidilharam, Makkah ditutup dan terbatas aktivitinya, kita teramat sedih. Tiba-tiba sahaja ibadat ‘terhad’. Pergerakan terbatas. Hari ini perasaan itu dapat dirasai di negara kita. Subuh hari ini kebiasaan ke masjid dan surau terpaksa dilupakan. Subuh di rumah. Masjid dan surau tinggal sepi. Hanya azan memecah kesunyian.

Persinggahan pertama sebelum meneruskan kehidupan terpaksa ditinggalkan seketika demi mengikut arahan pemerintah yang berusaha membendung wabak Covid-19. Yang tinggal hanya imam dan bilal bagi  terus mengingatkan umat agar terus beribadat walau di mana sahaja berada dan di dalam apa keadaan sekali pun.

Pastinya suasana hari ini berbeza berbanding hari-hari lain sebelum kerajaan mengenakan  Perintah Kawalan Pergerakan. Bukan sekadar masjid dan surau sepi, bahkan jalan raya dan lebuh raya lengang.

Ya Allah dengan segala ikhtiar yang kami lakukan, kami berserah kepada Mu , berlindung kepada Mu dari segala penyakit yang buruk dan mengerikan. Kembalikan kami kepada kehidupan yang membolehkan kami  menjalani ibadah seperti hari-hari sebelum Kau uji kami dengan wabak penyakit ini.

Jangan biarkan kami terlalu lama terpisah dengan solat berjemaah, iktikaf dan mengikuti kuliah-kuliah agama bagi meningkatkan ketakwaan kepada Mu. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar, Maha Mengetahui dan Maha Pengampun.

(Lokasi Masjid Bandar Seri Putra)

Related posts

Leave a Comment