Singapura tutup masjid

JIKA kerajaan Arab Saudi boleh ‘menutup’ Masjidilharam dan Masjid Nabawi serta Kaabah untuk aktiviti tawaf, maka bukan luar biasa bagi mana-mana masjid menghentikan sementara aktiviti termasuk solat berjemaah sebagai ikhtiar membendung wabak Covid-19.

Malahan Malaysia juga sudah membayangkan kemungkinan itu sekiranya keadaan benar-benar terdesak seperti diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Singapura dalam langkah terkini mengumumkan menutup semua 70 masjid mulai Jumaat (13 Mac) selama lima hari bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan penyahjangkitan dilaksanakan oleh khidmat pembersihan profesional.

Berita Harian Singapura melaporkan, tiada solat Jumaat pada 13 Mac dan tiada solat secara berjemaah selama lima hari di semua masjid.

Empat daripada 70 masjid itu bagaimanapun telah ditutup sejak 1 tengah hari Khamis (12 Mac), termasuk Masjid Muttaqin, Kassim, Hajjah Fatimah dan Jamae Chulia.

Langkah ini diambil berikutan dua jemaah tabligh warga Singapura yang disahkan dijangkiti Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan (MOH). Dua jemaah itu merupakan antara 90 warga Singapura yang menghadiri perhimpunan tabligh di Kuala Lumpur dari 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

Dalam pada itu, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam,  Masagos Zulkifli Masagos Mohamad dalam satu sidang media berkata, semua kegiatan di masjid termasuk ceramah, kelas aLIVE dan kuliah program Pembelajaran Islam Dewasa (ADIL), tadika di masjid akan ditiadakan selama dua minggu dari 13 Mac sehingga 27 Mac.

Kesemua acara kemasyarakatan termasuk majlis perkahwinan yang dijadualkan berlangsung di masjid juga akan ditiadakan. 

Sementara itu, Perdana Menteri, Lee Hsien Loong menggesa masyarakat Singapura berwaspada, sebelum menghadiri perhimpunan agama, sedang Singapura dijangka berdepan dengan cabaran wabak Covid-19 bagi tempoh lebih lama.

Beliau berkata demikian dalam ucapan yang disiarkan dalam bahasa Inggeris, Melayu dan Cina di televisyen dan di semua wadah media sosial pada malam Khamis (12 Mac).

“Kita harus berwaspada sebelum menghadiri sebarang perhimpunan termasuk perhimpunan agama,” kata beliau merujuk kepada dua kes jangkitan koronavirus yang melibatkan peserta perhimpunan tabligh di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau mengharapkan masyarakat faham dan menyokong langkah-langkah praktikal  seperti mengurangkan jumlah jemaah atau memendekkan khutbah demi menjaga keselamatan para jemaah.

.

Related posts

Leave a Comment