BELIAU pernah menangis di Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana mendakwa kerajaan DAP Pulau Pinang mengabaikan kawasannya, Penanti di Parlimen Permatang Pauh. Banyak soalannya juga tidak dijawab malahan ditolak daripada satu Exco kepada Exco lain. Padahal, beliau wakil rakyat kerajaan (PKR).
“Saya buang masa hampir sejam menunggu jawapan. Tahukah kerajaan negeri bahawa saya membawa suara orang kampung yang mana di kawasan kami tidak ada kemudahan seperti di kawasan lain,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Penanti, Dr. Norlela Ariffin di DUN Pulau Pinang pada tahun 2015.
Beliau pernah melahirkan kekecewaan terhadap kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng. Beberapa isu yang dibangkitkannya mendapat perhatian seperti isu terowong, tebus guna tanah, banjir, pencemaran dan peruntukan untuk kawasan.
Disebabkan ‘kelantangannya’ itu, khususnya berkaitan isu kilang haram di Kampung Sungai Lembu dekat Bukit Mertajam, beliau mengakui kesan buruk kepada karier politiknya. Beliau mendakwa tindakannya itu menyebabkan kerajaan negeri pimpinan DAP tidak menyukainya.
Namun pada 9 Mac lalu, beliau diumumkan sebagai Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Negeri Pulau Pinang. Beliau yang mengangkat sumpah jawatan hari ini menggantikan ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin daripada PKR, yang meletak jawatan berkuat kuasa 4 Mac lalu.
Kerajaan negeri hanya menerima satu nama dari PKR bagi mengisi kekosongan itu.
Dr. Afif yang juga bekas Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dikatakan berdepan tekanan daripada pelbagai pihak untuk melepaskan jawatan berikutan polemik politik membabitkan perpecahan parti dalam PH. Beliau di pihak yang menyokong bekas Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.
Dr. Norlela memenangi kerusi DUN Penanti pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2013 menewaskan calon BN, Ibrhaim Ahmad dengan majoritin2,339 undi. Beliau seterusnya mengekalkan kerusi itu pada PRU lalu mengalahkan calon BN dan Pas.