Jejaki 5,000 hadapi Covid-19

BRUNEI Darussalam adalah antara negara ‘terakhir’ dalam kalangan anggota ASEAN yang turut terlibat dengan wabak koronavirus Covid-19. Berbanding dengan Malaysia, Singapura dan Filipina yang lebih awal berdepan wabak ini, kes yang dilaporkan di Brunei ’mempunyai sejarah perjalanan’ dari Malaysia. Kes melibatkan jemaah yang menyertai perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling, Kuala Lumpur mulai 27 Februari sehingga 1 Mac.

Kes pertama di Brunei itu melibatkan pesara berumur 53 tahun. Beliau bersama tiga rakannya hadir di masjid Itu sebelum pulang pada 3 Mac melalui Miri, Sarawak. Pesara itu mula menunjukkan tanda-tanda jangkitan pada 6 Mac dan telah ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha pada 8 Mac untuk mendapatkan rawatan. Sampel nasopharyngeal swab bagi ujian Covid-19 diambil. Untuk rekod, beliau juga menghidap beberapa penyakit kronik seperti diabetes dan kardiovaskular.

Selepas keputusan awal diketahui, beliau dibawa ke Pusat Pengasingan Kebangsaan di Daerah Tutong pada 9 Mac. Ini diikuti menjejaki kontak pesakit dan hasilnya ujian awal makmal yang dilakukan, lima orang didapati positif. Mereka adalah isteri dan dua orang anak kepada kes, rakan kepada kes dan anak kepada rakan tersebut yang turut menghadiri perhimpunan berkenaan.

Pada ketika ini, kelima-lima kontak mengalami tanda-tanda jangkitan yang ringan seperti batuk dan selesema tetapi berada di dalam keadaan yang stabil, tidak menghidap demam panas dan tidak memerlukan bantuan pernafasan.

Begitulah senario kes pertama di Brunei yang mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan tabligh di Malaysia. Maklumat awal menunjukkan, perhimpunan itu melibatkan kehadiran 10,000 orang. Peserta Malaysia pula dianggarkan 5,000 orang. Justeru apa tindakan Malaysia selepas pendedahan Brunei itu?

Seperti dilaporkan, seorang lelaki berusia 60 tahun adalah antara 20 kes baharu yang dilaporkan semalam. Beliau mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan tabligh di masjid yang sama. Lelaki ini mula mengalami gejala demam, batuk dan selesema pada 4 Mac, sesak nafas pada 8 Mac dan dimasukkan ke Hospital Bentong. Dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan pada 9 Mac.

Ujian pengesanan Covid-19 bagi kes ini disahkan positif. Lelaki ini dirujuk sebagai Pesakit 131. Itu kes yang dapat dikesan. Bagaimana yang lain?

Dalam hal ini, kerjasama semua jemaah yang terlibat amat diperlukan. Jangan memandang ringan. Mereka berperanan membantu Kementerian Kesihatan menghalang penyebaran wabak ini dengan lebih meluas. Selepas seminggu perhimpunan, pasti ramai kontak yang dihubungi oleh para peserta perhimpunan. Ini satu kerja yang rumit sekiranya jemaah tidak tampil memberi kerjasama.

Jika sebelum ini golongan tabligh sering mencari masyarakat untuk menyampaikan dakwah tetapi kali ini mereka pula dicari.  Penampilan mereka sekurang-kurangnya dapat melindungi keluarga serta jiran dan sahabat terdekat. Ingatlah mencegah lebih baik daripada berubat. Mohon kerjasama!

Semua pihak perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Sementara kita diingatkan tidak panik, kerjasama jemaah menghubungi pihak berkusa kesihatan amat diperlukan. Berilah kerjasama kepada semua Jabatan Kesihatan Negeri yang sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai perkara ini di negeri masing-masing. Sebarkan maklumat keperluan melakukan pemeriksaan ini.

Pada masa yang sama elakkan tindakan menyebarkan maklumat yang tidak tepat atau mengeluarkan kenyataan yang tidak sewajarnya terhadap mereka sama ada yang disyaki atau dijangkiti Covid-19. Jangan diskriminasi mereka.  Apa pun penyakit, tidak ada sesiapa yang waras ingin dijangkiti Covid-19. Tidak ada sesiapa yang dengan sengaja mahu menempah atau mendedahkan diri terhadap wabak ini.

Teruskan ikhtiar, ambil langkah pencegahan dan patuhi arahan yang dikeluarkan termasuk dalam soal menjaga kebersihan diri. Selebihnya doakan kesembuhan orang yang dijangkiti serta kesejahteraan rakyat dan negara agar dilindungi daripada segala bencana dan wabak penyakit. Wabak yang tidak kelihatan ini tidak mengenal batas sempadan negara atau manusia.

Bagi mereka yang beragama Islam adalah disarankan untuk sentiasa berada di dalam wudhu kerana rukun wudhu adalah selari dengan nasihat-nasihat menjaga kebersihan diri seperti mencuci tangan, mencuci hidung dan mulut dan anggota tubuh badan lainnya.

Dalam situasi wabak ini, jika tidak ada keperluan, elakkan dari pergi ke luar negara terutama negara-negara yang mempunyai kes Covid-19 yang tinggi.

Pesan Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Jika kamu mendengar taun di sesuatu tempat, jangan kamu pergi kepadanya. Jika berlaku di sesuatu tempat sedangkan kamu berada di situ, jangan kamu keluar daripadanya,”

Justeru, sama-sama berusaha untuk menangani wabak ini lebih-lebih lagi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengkategorikan penularan Covid-19 sebagai pandemik, penyakit berjangkit yang merebak melalui populasi manusia yang merentasi sempadan negara, benua dan dunia.

Kurangkan panik, tingkatkan kewaspadaan.

(bebasnews.my)

Kartun oleh MARO

Related posts

Leave a Comment