Kali kedua pimpin kerajaan minoriti

MONTREAL: Pemimpin parti Liberal Kanada, Justin Trudeau akan meneruskan mandat ketiga sebagai perdana menteri dalam pemerintahan minoriti keduanya selepas memenangi 156 kerusi Parlimen pada pilihan raya ke-44.

Ini diikuti Parti Konservatif dengan 121 kerusi, Blok Quebecois 32, Parti Demokratik Baru 27, dan Parti Hijau dua.

Jumlah akhir kerusi mungkin tidak terlalu berbeza dengan komposisi Parlimen ketika dibubarkan bulan lalu.

Terdapat 338 kerusi, di mana parti perlu memenangi sekurang-kurangnya 170 kerusi untuk membentuk kerajaan majoriti.

Sebelum dibubarkan, Parti Liberal menguasai 155 kerusi Parlimen, diikuti oleh Parti Konservatif dengan 119 kerusi, Blok Quebecois 32 kerusi, Parti Demokratik Baru 24 kerusi, dan parti hijau dua kerusi.

Berdepan kritikan dari parti pembangkang kerana mengadakan pilihan raya di tengah-tengah gelombang keempat Covid-19, Trudeau mengumumkan pilihan raya mengejut itu pada 15 Ogos, yang mengakhiri pemerintahan minoritinya selama hampir dua tahun.

Trudeau memutuskan demikian bagi memberi peluang kepada rakyat memilih siapa yang mereka fikir layak serta mampu memimpin negara itu keluar dari krisis Covid-19.

Pembangkang berpendapat keputusannya itu didorong hasrat politik trudeau mahu membentuk kerajaan majoriti dan fokus utamanya bukan pandemik Covid-19.

Related posts

Leave a Comment