Covid-19 pandemik – WHO

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan situasi penularan Covid-19 sebagai pandemik selepas membuat penilaian terhadap penularan dan kemudharatan wabak ini.

Pandemik membawa maksud wabak penyakit yang tersebar dengan begitu meluas, sama ada hingga ke seluruh wilayah, benua atau dunia. Ia merujuk kepada penyakit berjangkit yang merebak melalui populasi manusia dan merentasi sempadan.

Menurut Twitter rasmi WHO, pertubuhan itu telah menilai penularan ini sepanjang masa dan sangat bimbang dengan tahap penyebaran dan kemudaratannya serta mengambil kira tahap tindakan yang tidak mencukupi.

“Oleh itu, kami telah membuat penilaian bahawa Covid-19 boleh dikategorikan sebagai pandemik,” kata Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus

Tambahnya, pandemik bukan suatu istilah yang boleh digunakan secara ringan atau kurang teliti. Ia adalah istilah, yang jika disalah guna, boleh mengakibatkan ketakutan yang tidak sepatutnya, atau persepsi bahawa penentangan terhadapnya sudah berakhir, hingga menyebabkan penderitaan dan kematian yang tidak perlu.

“Bagaimanapun situasi ini tidak mengubah penilaian WHO mengenai ancaman yang dibawa oleh koronavirus ini. Ia tidak mengubah sebarang langkah yang diambil oleh WHO, dan tidak mengubah tindakan yang perlu diambil oleh negara-negara terlibat.

“Kita tidak pernah sebelum ini melihat pandemik dicetuskan oleh koronavirus. Pada masa yang sama, kita juga tidak pernah melihat satu pandemik yang boleh dikawal,” jelasnya.

Tedros, berkata WHO dalam mod bertindak sejak kes pertama dan sentiasa menggesa  setiap negara untuk mengambil langkah segera dan agresif bagi menangani wabak ini.

Related posts

Leave a Comment