Qatif, sekolah, universiti ditutup

RIYADH: Setelah Makkah dan Madinah ‘ditutup’ bagi umrah dan ziarah, kerajaan Arab Saudi mengumumkan penutupan sementara Qatif, wilayah pengeluaran minyak terletak di timur negara itu, selepas 11 kes positif Covid-19 dikesan di kawasan terbabit.

Kementerian Dalam Negeri bagaimanapun memberitahu, penutupan itu tidak akan menjejaskan pengeluaran minyak negara berkenaan.

Pada masa yang sama, kerajaan turut mengeluarkan arahan menutup sekolah dan universiti untuk satu tempoh sehingga arahan susulan dikeluarkan.

Menteri Pendidikan, Hamad Al-Sheikh mengarahkan sesi pembelajaran diadakan secara jarak jauh sepanjang penutupan itu.

Sebelum ini, Arab Saudi mengeluarkan arahan sekatan perjalanan ke Iran yang sehingga kini telah mencatatkan lebih 200 kematian akibat wabak berkenaan.

Pihak berkuasa tempatan sebelum ini memberitahu mereka yang dikesan positif COVID-19 itu adalah antara yang mempunyai sejarah perjalanan ke Iran atau mempunyai kontak rapat dengan individu yang melawat republik itu.

Negara itu turut menggantung ibadat umrah dan menjalankan kerja-kerja pembersihan termasuk di Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah.

Bagaimanapun, ruang tawaf mula dibuka walaupun jarak antara Kaabah dengan kawasan permulaan tawaf agak jauh.

Related posts

Leave a Comment