Covid-19 cabaran Kementerian Kesihatan

TANGGUNGJAWAB berat sedang menanti Menteri Kesihatan, Dr. Adham Baba ketika dunia sedang menghadapi wabak Covid-19. Sudah dua minggu Kementerian Kesihatan ‘kehilangan’ ketua akibat kerajaan Pakatan Harapan ‘runtuh’ berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad.

Ketika Dr Dzulkefly Ahmad menjalankan tugas Menteri Kesihatan dengan baik bagi menangani wabak Covid-19, beliau terpaksa berundur dan kementerian itu terpaksa bergerak tanpa menteri atau timbalan menteri. Sepanjang ketiaadaan menteri, tanggungjawab itu terletak kepada Ketua Setiausaha Kementerian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah yang berpengalaman di kementerian itu juga memainkan peranan yang penting.

Covid-19 telah memberi kesan yang amat mendalam kepada kehidupan harian masyarakat dunia termasuk ekonomi dan pendidikan. Di sesetengah negara ramai yang hilang pekerjaan atau bekerja dari rumah. Sekolah dan universiti ditutup bagi mengekang wabak itu terus merebak.

Diharapkan Dr Adham, 57, yang memiliki ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) dari Universiti Malaya dapat segera memasuki pejabat dan meneruskan agenda kementerian terutama dalam menghadapi wabak ini.

Apa yang baik dan dirancang oleh menteri sebelum ini terutama isu-isu berkaitan penguatkuasaan kesihatan perlu diteruskan. Usah kompromi dalam hal-hal berkaitan penguatkuasaan untuk menjaga kesihatan rakyat seperti larangan merokok.

Dr. Adham dan Kementerian Kesihatan bukanlah baharu kerana beliau pernah bertugas sebagai Pegawai Perubatan pada 1988 hingga 1990. Beliau memulakan kerjaya sebagai doktor perubatan dalam sektor swasta pada 1990 hingga sekarang dengan memiliki rangkaian Klinik Adham Sdn Bhd.

Beliau juga pernah bertugas sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Pengajian Tinggi pada tahun 2004 hingga 2008 dan Pegawai Khas (Pendidikan) di Kementerian Belia dan Sukan (2000-2004).

Dr Adham turut memegang beberapa jawatan tinggi dalam syarikat berkaitan kerajaan antaranya Pro Canselor Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pada 2013 hingga 2018, Pengerusi Lembaga Pengarah UniKL dan Pengerusi Lembaga Majlis UniKL dan Pengerusi UniKL Medical Sdn Bhd dan Pengerusi UniKL Resources Sdn Bhd

Sebelum ini Dr. Adham menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Raja selama dua penggal. Ketika menjadi Ahli Parlimen Tenggara pada 2004 hingga 2008, beliau dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Pengajian Tinggi.

Related posts

Leave a Comment