Gabungan baharu di Johor

JOHOR BAHRU: Berikut adalah teks penuh kenyataan media Istana Johor berhubung kedudukan kerajaan negeri.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Ekoran daripada pengumuman Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 24 Februari 2020, yang parti tersebut telah keluar daripada Pakatan Harapan, maka kedudukan Kerajaan Pakatan Harapan di negeri Johor turut terjejas dan hilang majoriti menjadikan kerajaan yang tergantung.

Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad, telah menghadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor pada 26 Februari 2020, memaklumkan bahawa satu gabungan baharu telah diwujudkan bersama beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan berjaya memperolehi bilangan majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baharu.

Bagi mengesahkan sokongan majoriti tersebut, Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah bertitah supaya diadakan satu sesi temubual bersama setiap ADUN bagi mendengar sendiri sokongan yang diberikan.

Sehubungan itu, satu sesi temubual bersama semua ADUN Johor telah diadakan pada 26 Februari 2020 jam 3.00 hingga 5.00 petang di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, Johor Bahru.

Temubual tersebut telah dibuat dihadapan DYMM Tuanku dan disaksikan oleh YB Setiausaha Kerajaan Johor dan YB Penasihat Undang-undang Negeri Johor.

Setiap ADUN juga dikehendaki menandatangani surat akuan bersumpah bagi mengesahkan pendirian mereka sama ada menyokong parti Pakatan Harapan atau Gabungan Baharu.

Daripada 56 ADUN yang dipanggil, dua orang tidak dapat menghadirkan diri iaitu ADUN Simpang Jeram dan ADUN Puteri Wangsa.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan ADUN Bukit Gambir turut hadir dalam sesi temubual tersebut.

Setelah selesai sesi temubual tersebut, DYMM Tuanku telah berpuas hati bahawa gabungan parti yang baharu telah memperolehi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, apabila 28 ADUN memilih gabungan baharu, berbanding 26 ADUN memilih Pakatan Harapan.

Oleh yang demikian, gabungan parti yang baharu berhak untuk memberikan cadangan nama calon Menteri Besar, sebelum susunan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang baharu dilantik.

DYMM Tuanku berharap agar pentadbiran Kerajaan Negeri Johor segera dibentuk bagi memastikan pembangunan negeri berjalan dengan lancar demi kemajuan dan kesejahteraan hidup semua rakyat di negeri Johor Darul Ta’zim.

Adalah saya dengan hormatnya yang menjunjung titah.

Dato’ Haji Jaba Mohd Noah

27 Februari 2020

Setiausaha Sulit kepada DYMM Sultan Johor

Related posts

Leave a Comment