TINDAKAN serta merta Kerajaan Arab Saudi menggantung sementara kemasukan jemaah umrah berikutan wabak Covid-19 mengundang pelbagai persoalan.
Adakah jemaah yang sedang dalam penerbangan akan diarah pulang sebaik sahaja mendarat di Jeddah atau Madinah?
Diharapkan ada kelonggaran bagi jemaah yang sudah memasuki pesawat atau sedang di dalam penerbangan kerana difahamkan visa yang diluluskan di dalam sistem sudah ‘hilang’.
Mungkin yang belum bertolak atau sedang menunggu giliran dapat bersabar dan mengikuti perkembangan selanjutnya.
Khabarnya ada penerbangan yang sepatutnya berlepas petang ini telah dibatalkan.
Bagaimanapun atas faktor keselamatan, sama seperti diambil oleh kebanyakan negara berikutan wabak ini, pihak berkuasa Arab Saudi boleh menguatkuasakan peraturan yang sudah diambil.
Walaupun tujuan ke sana untuk beribadat tetapi peraturan harus dipatuhi lebih-lebih lagi ia dikaitkan dengan keselamatan atau kesihatan jemaah.
Di Malaysia, setiap hari ada sahaja penerbangan jemaah yang bertolak ke Jeddah atau Madinah.
Kerajaan Arab Saudi turut menggantung visa pelancongan dari negara yang berdepan ancaman coronavirus Covid-19.
Selain itu, rakyat Arab Saudi juga diminta tidak berkunjung ke negara yang menghadapi penularan Covid-19.
Menurut laporan Arab News, garis panduan yang dikeluarkan dalam usaha mengekang virus itu juga termasuk menggantung perjalanan ke dan dari Arab Saudi bagi warganegara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang menggunakan kad pengenalan kebangsaan.
Semoga keadaan kembali pulih.