Mana satu, pintu belakang atau bubar?

KECOH mengenai pembentukan kerajaan baharu. Sejak awal pagi semalam timbul pelbagai spekulasi mengenai kerajaan baharu bagi menggantikan kerajaan Pakatan Harapan (PH). Pada sebelah petang, pemimpin lin utama parti politik termasuk dari Sabah dan Sarawak berada di Kuala Lumpur. Mesyuarat parti diadakan, melibatkan Bersatu, UMNO, Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan kumpulan diketuai Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Terlalu banyak khabar angin yang membawa macam-macam cerita. Ada yang berkata, beberapa menteri sedang mengemas bilik, kerajaan baharu dibentuk tanpa DAP, PKR dan Amanah. Pelbagai senarai Kabinet yang tidak masuk akal dan melucukan bertebaran di ruang media sosial. Sekali lagi kehebatan nujum politik mendahului keputusan yang sebenarnya. Sesuatu yang sepatutnya dilihat secara serius dipermainkan.

Apa sebenarnya terjadi? Sehingga tengah malam tiada apa yang rasmi. PH yang dianggotai DAP, PKR, Bersatu dan Amanah masih mentadbir Putrajaya. Sekurang-kurangnya untuk sehari dua ini. Tunggulah perkembangan selanjutnya hari ini. Biar kedua-dua pihak menghadap Yang di-Pertuan Agong menjelaskan hal sebenar. Berilah ruang kepada Seri Paduka mendengar sendiri apa sebenarnya berlaku. Serahkan kepada budi bicara Tuanku.

Pertukaran kerajaan selepas PRU pernah berlaku sebelum ini , contohnya di Perak pada penggal yang lepas. Di peringkat Persekutuan belum terjadi.

Apa yang diharapkan pergolakan ini dapat diselesaikan dengan baik supaya kerajaan berada dalam keadaan stabil, ekonomi tidak terjejas dan pasaran saham tidak merudum. Jangan sampai ada pihak yang mengambil kesempatan terhadap kemelut yang berlaku.

Sudah terlalu lama perjalanan politik yang tidak menentu ini. Rakyat sudah letih melihat dan mendengar apa yang berlaku. Diharapkan percaturan parti-parti politik berhubung kerajaan baharu ini dapat dilakukan mengikut undang-undang atau lunas-lunas demokrasi.

Apa yang dibimbangkan, tidak ada sokongan majoriti untuk pembentukan kerajaan dan melantik Perdana Menteri. Lebih malang jika ada anggota Parlimen yang boleh dijual beli, ibarat lalang, bersifat talam dua muka, ular dua kepala, lidah bercabang atau musuh dalam selimut.

Dalam hal ini mereka harus mengenepikan agenda peribadi atau agenda pihak tertentu. Utamakan agenda untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Pada masa yang sama, persoalan ynag timbul, sejauh manakah andai pembentukan kerajaan baharu dibentuk, kedudukannya lebih kukuh berbanding sekarang? Adakah pembentukan kerajaan melalui ‘pintu belakang’ ini mampu bertahan lama?

Sebelum ini, banyak pihak terutama parti pembangkang yang menolak pembentukan kerajaan ‘pintu belakang’. Mereka mahu ikut pintu hadapan. Seperti yang disebut di atas, pembentukan kerajaan pintu belakang mungkin dipengaruhi unsur-unsur rasuah, tekanan, paksaan atau ugutan pihak tertentu.

Rasuah boleh berlaku dalam pelbagai bentuk sama ada wang sogokan, janji jawatan, janji membebaskan daripada tuduhan mahkamah dan sebagainya.

Begitu juga ada yang memandang negatif kerajaan pintu belakang selepas PRU ini dengan melabelkannya mengkhianati mandat rakyat. Namun ada yang melihat, perubahan tampuk pemerintahan melalui kaedah ini wajar apabila rakyat berubah fikiran dan merestuinya serta bersedia menerima dengan baik perubahan itu. Apatah lagi jika ia tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini berapa ramai yang menolak tindakan anggota Parlimen UMNO meninggalkan parti itu selepas memenangi PRU atas tiket BN? Adakah itu mengkhianati rakyat atau sebaliknya?

Mungkin kerajaan baharu boleh dibentuk untuk tempoh tertentu dan kemudiannya Parlimen dibubarkan untuk mengadakan PRU ke-15. Berilah rakyat peluang memilih semula bagi memperbetulkan ‘kesilapan’ yang dilakukan. Rakyat terutama orang Melayu sudah mampu memilih yang terbaik setelah melihat situasi yang berlaku selepas PRU lalu. Semoga negara kita dipelihara dari segala bencana.

Related posts

Leave a Comment