Covid-19 terus cari mangsa

SEHINGGA hari ini, 23 Februari 2020, secara kumulatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 22 kes Covid-19. Daripada jumlah tersebut, 20 kes merupakan kes import – iaitu yang mempunyai sejarah perjalanan dari atau tinggal di luar negara, khususnya dari China. Baki dua lagi adalah dalam kalangan ahli keluarga kepada salah satu kes yang merupakan warganegara Malaysia.

Malaysia kini berada di kedudukan 29 teratas terkesan dengan Covid-19 yang setakat setakat ini telah mengorbankan lebih 2,450 orang. Walaupun kematian hampir 100 peratus di China tetapi perkembangan terkini menunjukkan kematian sudah berlaku di luar China termasuk di Itali dan Iran. Semoga rakyat Malaysia terus berwaspada tanpa perasaan panik.

Di negara kita, KKM bertindak proaktif dengan memperkukuhkan Survelan Covid-19 bagi mengesan kes dalam kalangan masyarakat. Sistem ini menggunapakai konsep yang dilaksanakan bagi Sistem Survelan Influenza – iaitu melalui pengesanan kes “severe acute respiratory infection (SARI)” dan pengesanan kes “influenza-like illness (ILI)” yang memenuhi kriteria, masing-masing di peringkat hospital serta Klinik Kesihatan yang dikenalpasti. Pengukuhan pengesanan di kalangan kes SARI dimulakan sejak 12 Februari 2020. Sehingga kini tiada sampel dikesan positif Covid-19 daripada sejumlah sampel yang diuji. Manakala pengukuhan pengesanan dalam kalangan kes ILI pula bermula pada 22 Februari.

Status terkini di Malaysia menunjukkan,  seorang lagi pesakit telah pulih dan dibenarkan pulang ke rumah petang semalam. Beliau adalah kes ke-13, wanita warganegara Malaysia berumur 40 tahun yang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan disahkan positif pada 5 Februari 2020. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 yang telah pulih sepenuhnya dan discaj sehingga hari ini adalah 18 orang dengan empat masih dirawat dan dalam keadaan stabil.

Related posts

Leave a Comment