KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohammad bersetuju menangguhkan pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) bagi penjawat awam 33 Skim Perkhidmatan Kritikal.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata perkara itu dipersetujui dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri di sini, hari ini.
Mengumumkan perkara itu menerusi rakaman video di laman Twitter rasminya, Syed Saddiq berkata, Dr Mahathir juga setuju untuk membincangkan isu berkenaan dalam mesyuarat Kabinet pertama tahun hadapan.
“Sebentar tadi saya berbincang dengan Perdana Menteri berkenaan isu elaun kritikal dalam pekeliling baharu JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam).
“Alhamdulillah, Perdana Menteri bersetuju untuk menangguhkan pekeliling JPA yang baharu mengenai elaun kritikal dan Kabinet akan bersama-sama membincangkan isu ini pada Mesyuarat Kabinet yang pertama pada Januari depan,” katanya.
Syed Saddiq turut memberi jaminan untuk terus memastikan suara doktor, jururawat dan anak muda dalam sektor kerajaan tidak diabai atau dianaktirikan.
JPA menerusi satu pekeliling yang dikeluarkan Jumaat minggu lalu, antara lain mengumumkan bakal memansuhkan lapan elaun bermula tahun hadapan.
Ia termasuk BIPK, Bayaran Insentif Angkat Najis, Bayaran Insentif Menaip Jawi, Elaun Keraian kepada Setiausaha Sulit dan Setiausaha Sulit Kanan serta beberapa elaun lagi.
Langkah itu mendapat bantahan banyak pihak termasuk Syed Saddiq yang menyarankan supaya elaun ahli politik dan menteri yang dipotong, bukannya elaun kritikal doktor, ahli farmasi serta jururawat muda.
Sebagai permulaan, Syed Saddiq turut memendekkan cuti tahunan dan memulangkan peruntukan yang diterima sebagai elaun percutian, selain mengurangkan 10 peratus gajinya.
BH online