Putra mahu Anwar beri perhatian isu Menara KL

KUALA LUMPUR  20:April – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) merayu Anwar Ibrahim memberi perhatian kepada isu melibatkan penyingkiran secara paksa pengendali Menara Kuala Lumpur, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB).

Presiden Putra Ibrahim Ali berkata, Perdana Menteri perlu meneliti semula isu tersebut kerana syarikat yang disingkirkan itu adalah dimiliki oleh orang Melayu.

“Atas dasar simpati sesama Melayu, kepada Anwar saya nak merayu, setidak-tidaknya kita berkenalan dan berjuang kerana Melayu dan Islam, tolong tengok balik kes ini. Adalah simpati kepada pengurusan MKLSB, jangan zalim,” katanya.

Dakwanya, pengusiran syarikat pengurusan Menara Kuala Lumpur itu adalah zalim tanpa belas kasihan dan bermotifkan politik.

Sebelum ini Pengarah Urusan MKLSB, Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak mempertahan rekod dan prestasi syarikat yang didakwa menjadi alasan penyingkiran mereka.

Baru-baru ini, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata Manara KL akan dibuka semula kepada orang ramai sebaik kerja penyelenggaraan dan isu keselamatan ditangani sepenuhnya oleh konsesi baharu.

Beliau berkata hasil pemantauan petugas kementerian di Menara KL mendapati ada perkakas di dapur dan beberapa ruangan di lokasi berkenaan tidak berada dalam keadaan selesa untuk pengunjung.

Katanya, sebelum ini, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan bertindak memasuki premis itu baru-baru ini selepas syarikat pengendali lama enggan mengosongkan premis walaupun konsesi mereka telah tamat.

“Penting untuk kita sebut Menara KL adalah sepenuhnya hal milik kerajaan yang diurus operasinya oleh Kementerian Komunikasi. Sejak 1 April lalu, syarikat lama sudah tamat operasi dan syarikat baru mula (ambil alih) 1 April.

“Atas sebab yang disebut dalam media, syarikat lama enggan keluar, maka Pesuruhjaya Tanah Persekutuan sudah meneliti isu ini. Kita sudah melalui proses oleh pihak pesuruhjaya masuk (dan ini) untuk memudahkan pemegang konsesi baharu masuk kelak,” katanya.

Menyentuh nasib pekerjanya, Fahmi menjelaskan seramai 193 daripada 205 pekerja dari syarikat lama sudah diserap masuk ke dalam syarikat baharu.

“Mereka sudah tamat perkhidmatan pada 1 Syawal, tapi syarikat baharu sudah ambil. Berpandukan notis yang dikeluarkan pada 18 Disember lalu, memang Kementerian Komunikasi minta syarikat baru mengambil semua pekerja kerana ramai pekerja yang ada sudah 12,13 tahun berkhidmat dan bekerja di sana,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment