MADRID 20 April – Sepanyol hari ini, memansuhkan sebahagian peraturan yang mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat tertutup termasuk di sekolah- sekolah.
Bagaimanapun pelitup muka masih diwajibkan untuk para pelawat dan kakitangan pusat kesihatan dan rumah jagaan, namun pesakit tidak perlu memakainya seperti terkandung dalam dekri pemerintah yang diluluskan pada Selasa 19 April.
Pelitup muka juga masih diwajibkan di dalam semua pengangkutan awam tetapi bukan di stesen atau lapangan terbang.
Setakat ini masih belum jelas kesan dekri ke atas tempat kerja seperti syarikat awam dan swasta, bank, kilang dan gerai kerana pemerintah membenarkan majikan untuk memilih meneruskan pemakaian pelitup jika mereka berpendapat bahawa masih ada risiko kepada kesihatan.
Pelitup masih digalakkan namun tidak diwajibkan dalam banyak perhimpunan, di kawasan yang sesak atau apabila berada dalam kalangan golongan yang lemah.
Lebih 92 peratus penduduk Sepanyol berumur 12 tahun ke atas sudah menerima sekurang-kurangnya dua dos vaksin.
Jumlah jangkitan dan kematian akibat koronavirus di Sepanyol juga sudah merosot dalam beberapa bulan yang lalu.
Sepanyol sudah memansuhkan tempoh pengasingan untuk individu yang dijangkiti Covid-19 yang mengalami gejala ringan atau tanpa gejala.