Tingkatkan segera bantuan ke Gaza

GENEVA – Akses bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza perlu ditingkatkan dengan segera susulan hujan lebat yang menyaksikan air menenggelami kem penempatan sementara.

Pesuruhjaya Kesatuan Eropah (EU) bagi Kesamaan, Kesiagaan dan Pengurusan Krisis, Hadja Lahbib, yang membuat gesaan itu berkata,  situasi itu memburukkan lagi keadaan penduduk yang sudah sedia menderitai krisis kemanusiaan.

“Di Gaza, keluarga-keluarga terpaksa mencedok air keluar dari khemah mereka menggunakan periuk dan kuali,” kata Lahbib dalam hantaran melalui platform X.

Beliau berkata, banjir melanda kem-kem petempatan rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal, dan hujan lebat memburukkan lagi situasi yang sudahpun kritikal.

“Hujan menjadikan krisis yang sememangnya tidak tertanggung itu bertambah

parah,” katanya.

Lahbib memaklumkan bahawa pertubuhan kemanusiaan terus menjalankan operasi mereka meskipun dalam keadaan cuaca ribut, namun menekankan keperluan mendesak membawa masuk bantuan tambahan.

Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, hujan lebat dan ribut bermula lewat Jumaat lalu menjejaskan kira-kira 70,000 khemah dihuni rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal, dengan kawasan terbabit ditenggelami banjir serta air bertakung.

Selain itu, kerosakan infrastruktur dan kekurangan peralatan kecemasan merumitkan lagi operasi bantuan.

Sebelum ini, pada Khamis, Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) berkata, kira-kira 1.98 juta penduduk di Gaza memerlukan tempat perlindungan dan bekalan asas lain, sekali gus menunjukkan skala keperluan kemanusiaan yang besar menjelang musim sejuk.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment