Plaza Rakyat: Pulih atau runtuh

Apabila Dr. Mahathir Mohamad melawat Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasik Selatan baru-baru ini, selepas dibuka pada 1 Januari 2011, timbul cerita mengenai projek Plaza Rakyat yang terbengkalai. Isu ini timbul kerana Plaza Rakyat dibina pada era Perdana Menteri Keempat. Plaza Rakyat dirancang sebagai hab pengangkutan awam bagi menggantikan Pudu Raya yang menjadi hentian pengangkutan awam dari seluruh pelusuk negara. Disebabkan kesesakan di situ, maka Plaza Rakyat dicadangkan untuk menggantikan Pudu Raya.

Sebuah padang permainan bersebelahan Pudu Raya diambil alih dan dijadikan tapak projek. Kini padang yang dulu menjadi tempat rekreasi bagi warga kota bertukar wajah kepada hutan batu yang menyakitkan mata memandang. Ada yang berkata kawasan itu kini menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes. Kalau betul dakwaan itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) jangan lupa melakukan pemeriksaan berkala. Jangan kawasan kediaman lain jadi tumpuan untuk mencegah denggi, tetapi kawasan di tengah-tengah kota terlepas pandang.

Hari ini Plaza Rakyat hanya wujud pada nama sahaja, menumpang di stesen Transit Aliran Ringan (LRT). Mungkin kalau tidak dinamakan Stesen Plaza Rakyat, orang ramai terutama generasi baharu tidak tahu wujud projek terbengkalai di situ. Plaza Rakyat adalah tinggalan konkrit usang, berkarat, berdaki, berlumut dan macam-macam lagi. Mujurlah Pudu Raya tidak diruntuhkan serentak dengan pelancaran Plaza Rakyat, jika tidak semakin hodohlah kawasan itu. Pudu Raya masih bertahan walaupun namanya sudah bertukar kepada Pudu Sentral dan kemudiannya sebagai Pusat Transformasi Bandar Kuala Lumpur (UTC).

Pudu Raya masih hidup dengan pelbagai aktiviti walaupun tidak sesibuk masa lalu. Panorama buruk kawasan pembangunan Plaza Rakyat boleh dinikmati di bangunan tinggi sekitar kawasan itu malahan boleh dilihat jika anda menaiki LRT yang melintasi stesen Plaza Rakyat. Bagi para pelancong atau mereka yang berada di puncak Menara KL juga boleh menikmati suasana hodoh ini. Dari atas menara, jika ternampak satu kawasan buruk umpama tinggalan perang atau bencana berhampiran Stadium Negara, maka itulah ‘Plaza Rakyat’ yang tidak menjadi kenyataan.

Sejak bila Plaza Rakyat terbengkalai? Menyelak kembali sejarah, projek ini mula dibina pada tahun 1992 dengan anggaran kos RM1.2 bilion. Plaza Rakyat dikatakan akan menjadi bangunan kedua tertinggi di Kuala Lumpur selepas Menara Berkembar Petronas. Terdapat beberapa komponen pembangunan plaza ini. Khabarnya, mengikut pelan asal, menara tertinggi di sebelah barat plaza itu akan mempunyai 79 tingkat ruang pejabat, disambung dengan menara setinggi 20 tingkat di timur dengan menerusi blok podium setinggi enam tingkat. Ketinggian keseluruhan Plaza Rakyat (termasuk menara telekomunikasi) adalah 382 meter. Ruang seluas 6.6 juta kaki persegi akan terhasil apabila ia disiapkan merangkumi ruang perniagaan, pusat pengangkutan awam, hotel dan pejabat. Ia juga akan mempunyai tujuh panggung wayang, pusat hiburan, hotel empat bintang dengan 415 bilik dan 315 unit apartmen.

Akibat kegawatan ekonomi pada tahun 1997, projek yang dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2007 terbengkalai. Pelbagai langkah diambil bagi memulihkan projek itu tetapi gagal dan masih terbengkalai sehingga ke hari ini. Ketika banyak projek lain yang lebih besar dirancang selepas itu siap mengikut jadual, Plaza Rakyat terus membatu tanpa perkembangan. Begitulah kisah duka Plaza Rakyat.

Apakah kesudahannya projek ini? Pada Oktober 2015, Dewan Rakyat diberitahu, sebanyak RM40 juta diperuntukkan untuk menyelesaikan masalah 211 pembeli projek Plaza Rakyat yang terbengkalai itu. Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, syarikat Profit Consortium Sdn. Bhd. dilantik untuk membangunkan semula Plaza Rakyat dan dijangka memasuki perjanjian jual beli dengan DBKL pada bulan November 2015.

“Harga jualan yang ditawarkan bagi tapak Plaza Rakyat kepada pembeli ialah RM740 juta iaitu RM700 juta bagi ‘outright sale’ tanah, manakala bakinya akan digunakan untuk menyelesaikan masalah pembeli lama projek itu,” kata Tengku Adnan ketika menjawab soalan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) yang meminta penjelasan mengapa DBKL masih gagal memulihkan projek terbengkalai Itu. DBKL telah melalui proses perundangan yang panjang dalam menyelesaikan isu Plaza Rakyat yang terbengkalai dan masalah kewangan dihadapi Plaza Rakyat Sdn. Bhd. (PRSB). Susulan itu tapak projek diserahkan kepada DBKL pada 6 November 2014.

“Dengan pelantikan syarikat baharu ini (Profit Consortium Sdn Bhd), diharapkan isu projek yang terbengkalai dapat dipulihkan,” katanya seperti dilaporkan Bernama. Itu setakat 2015, maknanya setelah 18 tahun.

Pada Mei 2016, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Dr. Loga Bala Mohan ketika bercakap di lobi Parlimen berkata, projek Plaza Rakyat terbengkalai dijangka mula dibangunkan pada Jun tahun berikutnya. Namun pihaknya harus menyelesaikan urusan tuntutan kepada semua pendeposit projek itu terlebih dahulu sebelum dapat membangunkan plaza berkenaan.

Sekarang dah masuk tahun 2019, maknanya sudah 22 tahun. Adakah projek Plaza Rakyat akan terus terbiar begitu sahaja? Sejauh mana peranan DBKL dalam menghadapi pemulihan projek ini? Bolehkah DBKL ‘lepas tangan’ terhadap projek ini?

Sesuatu perlu dilakukan bagi menamatkan penantian Plaza Rakyat. Mungkin kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Dr. Mahathir dapat membawa harapan baharu bagi membantu menyelesaikan apa juga kemelut yang melanda projek berkenaan. Inilah peluang PM Ke-7 memulihkan projek era PM Ke-4. Satu keputusan yang tegas dan muktamad perlu dibuat supaya ia bukan sahaja menyelesaikan masalah pemaju, pemilik dan pembeli tetapi juga orang ramai yang tidak senang dengan pemandangan ini. Tidak wajar pemandangan buruk itu dibiarkan terus kekal. Nak buat monumen pun tidak sesuai.

Semua pihak perlu memberi kerjasama bagi menamatkan kemelut ini. Pilihan yang ada hanya dua iaitu meneruskan projek berkenaan atau membatalkannya. Meneruskan projek itu sudah tentu memerlukan pengubahsuaian terhadap komponen projek itu termasuk pusat pengangkutan awam. Ketika ini hab pengangkutan awam telah beroperasi sepenuhnya dengan baik di TBS. Dengan rangkaian hubungan melalui LRT, komuter dan ERL, serta kesesuaian semasa, Plaza Rakyat tidak lagi sesuai untuk menjadi pusat pengangkutan awam.

Satu perkara lagi yang perlu diberi perhatian ialah sama ada selepas terbiar selama 22 tahun, struktur yang sudah terbina itu masih dalam keadaan selamat?

Jika tidak ada jalan keluar, struktur yang sudah terbina itu eloklah diruntuhkan sahaja. Meruntuhkan bangunan bukanlah sesuatu yang sukar. Sebelum ini beberapa bangunan termasuk flat dan pusat perniagaan diruntuhkan untuk memberi laluan kepada projek lain. Apa yang penting kata pemutus pihak-pihak yang terlibat. Mustahil, masalah ini tidak ada jalan keluar.

Amat merugikan lokasi yang bernilai tinggi itu terbiar tanpa sebarang hasil. Semoga dengan kebijaksanaan dan keprihatinan kerajaan yang ada pada hari ini termasuk menteri yang baharu, projek ini dapat diselamatkan. Projek-projek seumpama ini juga perlu diberi perhatian untuk diselamatkan.

Sumber: http://bebasnews.my/2019/02/06/selak-plaza-rakyat-pulih-atau-runtuh/

Related posts

Leave a Comment