Menukar sejarah ‘masuk keluar masuk’ di Permatang Pauh

SEPULUH hari yang ‘panas’. Itu episod ketiga Pilihan Raya Umum Ke-14. Episod pertama parti politik mengumumkan calon diikuti episod kedua penamaan calon sudah tamat. Sekarang memasuki tempoh berkempen sehingga episod keempat, hari pengundian mengambil tempat pada 9 Mei ini. Sah, 687 calon akan bertanding di 222 kerusi Parlimen dan 1,646 calon di 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Hari penamaan calon Sabtu lalu diwarnai pelbagai cerita menarik, bukan sekadar warna biru tua, biru muda dan hijau tetapi cerita suka duka, lucu dan menyedihkan. Tugas untuk menamakan calon bukanlah mudah kerana ada yang mengugut, ada yang tidak setuju dan ada yang merajuk.

Selepas dipilih, memastikan nama disenaraikan di kertas undi juga bukan satu perkara yang boleh dipandang ringan. Jangan main-main dengan peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Nampak mudah, seperti menjawab soalan objektif kertas peperiksaan yang ada jawapan A, B, C, D. Orang berilmu, cerdik dan pandai pun belum tentu lulus ujian ini. Walaupun sekarang era teknologi maklumat (IT), nak tanda jawapan di kertas soalan memerlukan pen atau pensel. Bagaimana jika terlupa bawa kedua-duanya? Terlupa pas kerja mungkin menyebabkan anda tidak boleh buka pintu pejabat. Jika terlupa pasport tidak boleh ke luar negara. Maka patuhilah peraturan. Kawasan penamaan calon dan pusat pengundian bukan pasar yang membolehkan seseorang keluar masuk sesuka hati. Kawasan berkenaan di bawah kawalan SPR. Semoga sikap sambil lewa sehingga menyebabkan calon kandas sebelum masuk gelanggang dijadikan iktibar.

Terdapat beberapa kawasan pilihan raya yang menjadi tumpuan. Ia juga bergantung kepada kawasan serta personaliti. Ramai juga calon anak beranak, adik beradik, anak menantu atau anggota keluarga. Bertandinglah jika anda layak. Tidak kurang juga yang angkat­ kaki atau meninggalkan kawasan lama. Mereka ini umpama mengamalkan pertanian pindah randah. Tebas, bakar dan tanam. Apabila tanah mulai tidak subur, berpindah lagi mencari kawasan baharu. Bertanding dua kerusi juga bukanlah sesuatu yang ganjil tetapi ada juga yang bertan­ding di dua kawasan Parlimen yang berbeza, contohnya kawasan Parlimen A tetapi DUN di Parlimen B. Ini juga demokrasi. Bagi gabungan parti pembangkang, pindah randah perkara biasa. Contoh terbaik adalah Lim Kit Siang. PRU kali ini juga menyaksikan ramai yang ‘lari’. Tidak ketinggalan ibu dan anak, Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Nurul Izzah Anwar.

Di Permatang Pauh, nama-nama yang dikemukakan untuk menghadapi PRU-14 bukanlah suatu kejutan. Bagi BN, nama Ketua UMNO Bahagian, Mohd Zaidi Mohd Said sudah menjadi bualan agak lama berdasarkan gerak kerja yang dilakukan. Selepas Setiausaha Bahagiannya, Suhaimi Sabudin, orang kanan yang selalu ke sana sini bersamanya tewas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh pada 2015, beliau terus bekerja mendekati rakyat. Perkhidmatannya mengalahkan wakil rak­yat yang dipilih secara demokrasi, iaitu Wan Azizah yang masuk keluar masuk Parlimen atas nama Permatang Pauh. Banyak projek yang dibawa masuk oleh Zaidi. Wan Azizah yang juga wakil rak­ yat di DUN Kajang, Selangor mungkin sibuk untuk berulang alik. Sekurang-kurangnya perlukan satu hingga lima jam perjalanan Pulau Pinang ke Selangor bergantung sama ada menggunakan pesawat, kereta atau ETS. Sejak dua tiga bulan lalu, apabila Selak cuba menyelak-nyelak siapa agaknya yang akan diturunkan PKR di Permatang Pauh pada kali ini, masing-masing menyatakan ‘orang baharu’. Maknanya, sudah ada tanda-tanda Wan Azizah akan meninggalkan pengundi-pengundi setianya. Siapakah dia? Ada dua nama yang disebut sama ada Nurul Izzah atau pun Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail. Sekarang sah, Nurul Izzah diterbangkan dari Lembah Pantai untuk meneruskan legasi Anwar di Permatang Pauh. Mungkin letak sahaja anggota keluarga Anwar, PKR akan menang.

Adakah mereka sekadar mempertaruhkan nama keluarga? Jika benar, kasihan orang Permatang Pauh kerana wakil rakyat mereka boleh datang dan pergi. Kenapa perlu berpindah-randah? Adakah sekadar untuk mencari kemena­ngan? Mungkin pengaruh mereka sudah merosot. Umpama pertanian pindah-randah, apabila ada tanda-tanda tanah tidak subur, berpindah ke kawasan baharu. Ti­dak ada maknanya memberi nafas baharu tetapi yang datang adalah orang lama dari keluarga yang sama dan rekodnya sudah diketahui. Mungkin dapat diterima jika ibu ke Lembah Pantai, bukan ke Pandan, salah satu kawasan yang dianggap selamat. Apakah di sebalik percaturan ini? Mungkin bagi PKR, Permatang Pauh dan Pandan adalah kawasan harapan yang boleh dijadikan ‘kerusi simpanan’ untuk Anwar. Adakah selepas Anwar dibebaskan dan pengampunan berjaya, Anwar akan diberi pilihan salah satu kerusi ini? Jika ini berlaku, siri keluar masuk Permatang Pauh akan berulang kecuali BN melakar sejarah untuk menamatkan episod drama keluar masuk ini. Adakah pengundi-pengundi Permatang Pauh masih seronok melihat kawasan mereka umpama trek acara lari berganti-ganti? Selaklah sejarah politik dan pilihan raya di kawasan itu.

Wan Azizah memenangi PRU 1999 dan 2004 di Permatang Pauh. Beliau menang PRU-12 pada 8 Mac 2008 tetapi meletak jawatan pada Ogos 2008 untuk memberi laluan kepada suaminya bertanding melalui PRK 26 Ogos 2008. Anwar menang dan semasa PRU-13, beliau mengekalkan kerusi itu dengan majoriti undi yang merosot. Apabila Anwar hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen pada 2015, sekali lagi PRK diadakan. Wan Azizah menyam­but baton yang ditinggalkan suaminya. Beliau mengalahkan Suhaimi ketika krisis Pas-PKR. Kali ini, Pas hadir bersama calonnya selepas penampilan terakhir pada 1995. PRU ini benar-benar menguji sejauh mana sokongan pengundi terhadap PKR.

Apakah masih ada sentimen terhadap Anwar? Bersediakah penyokong Pas berpaling tadah menyokong PKR yang bermakna menyokong DAP? Kesepaduan penyokong BN, Pas dan PKR amat membantu kemenangan calon dan pada masa sama mengharapkan sokongan pengundi atas pagar atau yang tidak menyertai parti politik. Bagi BN, matlamat PRU-14 adalah menenggelamkan penguasaan PKR di Permatang Pauh. Cikgu Zaidi bersama teamnya telah bekerja keras untuk mendekati masyarakat. Team Zaidi kini mesra masyarakat tanpa mengira fahaman politik. Permatang Pauh boleh melakar sejarah untuk memadam­kan sentimen simpati supaya mereka diwakili oleh pemimpin yang sanggup bersama-sama be­kerja di Permatang Pauh, bukan sekadar pemanas kerusi.

UMA300418012C#

Related posts

Leave a Comment