Usah diperkecilkan kesungguhan Pas

SEMAKIN ‘panas’ suasana pengumuman calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Di beberapa negeri, parti-parti politik termasuk komponen Barisan Nasional (BN) dan parti gabungan PKR iaitu DAP, PKR dan PAN telah mengumumkan calon pilihan mereka. Gandingan muka baharu dan lama mewarnai pemilihan calon. Tidak kurang juga yang bertukar kerusi. Ada yang berpuas hati dan ada juga yang kecewa. Selepas ini akan kedengaranlah bilik gerakan ditutup, ada yang merajuk dan tidak kurang juga cuba membuat ugutan. Kerusi Parlimen hanya ada 222 tetapi yang layak dan berminat juga terlalu ramai. Jika ada yang merajuk, cukuplah sehari dua. Selepas penamaan calon, turunlah membantu kempen.

Selain calon menawarkan diri, ada juga yang mahu kembali semula atau tidak mahu melepaskan jawatan itu. Masing-masing ada alasan tersendiri untuk bertanding termasuk mereka disenangi pengundi-pengundi. Hakikatnya, jentera yang bekerja itulah yang bakal memikul tanggungjawab berat untuk membantu kemenangan. Mereka dipilih­ oleh parti tetapi belum tentu pengundi­ akan memilih mereka. Jangan­ terlalu gembira untuk menang dan bergelar Aku Yang Berhormat. Situasi politik hari ini tidak menentu. Pengundi bukan seperti ayam atau kambing yang mudah dihalau masuk ke reban setiap kali waktu senja. Pengundi kita pelbagai. Ada yang pilih calon dan ada yang pilih parti. Pilihan mereka yang di atas pagar sukar diramalkan tetapi kesetiaan anggota parti juga harus diragui kerana kadangkala mereka memilih calon. Jika calon pilihan mereka tidak dipilih, maka parti mungkin dilupakan. Harus ada kebimbangan, akan ada yang bertindak umpama marahkan nyamuk kelambu dibakar.

Kesetiaan mereka goyang ke­rana simpati kepada calon pilihan yang tidak terpilih lebih-lebih lagi apabila calon itu merajuk. Begitulah sukarnya memilih calon yang disukai anggota parti dan rakyat seluruhnya. Ketika ini ramai pemimpin yang sudah tampil menyatakan kerusi pilihan mereka. Hanya­ ada beberapa nama besar yang belum diketahui ke mana mereka. Mungkin hari ini atau esok. Ramai yang tertanya-tanya ke mana Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Lim Kit Siang? Ketika hampir semua pemimpin utama parti politik sudah memilih kawasan yang hendak ditandingi, dua pemimpin utama PKR dan DAP ini masih berteka-teki. Adakah mereka akan kekal di Permatang Pauh dan Iskandar Puteri yang dulunya dikenali se-bagai Gelang Patah? Mungkinkah mereka akan melakukan lompatan? Benarkah Dr. Wan Azizah akan meninggalkan Permatang Pauh? Berdasarkan senarai calon DAP di Pulau Pinang, ternyata Kit Siang juga tidak akan berpatah balik ke Tanjong. Kedudukan DAP yang selesa di Pulau Pinang tidak memerlukan bantuan Kit Siang. Beliau lebih­ diperlukan untuk menghadapi nama-nama besar yang mewakili MCA atau Gerakan. Sama-sama kita tunggu ke mana mereka akan melangkah mencari kerusi.

Berbalik kepada Pulau Pinang, setakat ini, DAP dan Pas telah mengumumkan senarai calonnya untuk bertanding di negeri itu. BN dijangka mengumumkan senarainya esok. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang sebelum ini tidak pasti untuk bertanding kerana berhadapan dengan kes rasuah akhirnya akan mempertahankan kerusi DUN Air Puteh dan Parlimen Bagan. Keputusan itu memang sudah dijangka dan bukanlah satu kejutan. Mungkin agak mengejutkan apabila Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan Negeri, Lim Hock Seng direhatkan selepas dua penggal memenangi kerusi Bagan Jermal. Hock Seng adalah orang lama di DUN Pulau Pinang sebelum mewakili Parlimen Bagan dan kemudiannya menyerahkan kepada Guan Eng yang berhijrah ke Pulau Pinang pada tahun 2008. Pas pula menunjukkan kesungguhan­ untuk kembali bersendirian dalam menghadapi PRU selepas empat penggal bertindak sebagai pembantu PKR dan DAP.

Walaupun bertindak atas nama Gagasan Sejahtera, tetapi hakikatnya Pas dilihat bertindak secara solo. Daripada 13 kerusi Parlimen, enam kerusi yang kebanyakannya pernah ditandingi menjadi pili-han iaitu Permatang Pauh, Kepala Batas, Nibong Tebal, Bayan Baru, Balik Pulau dan Tasek Gelugor. Daripada 40 kerusi DUN, sebanyak 18 akan ditandingi iaitu Penaga, Bertam, Pinang Tunggal, Perma-tang Berangan, Sungai Dua, Teluk Air Tawar, Seberang Jaya, Permatang Pasir, Penanti, Bukit Tengah, Sungai Bakap, Sungai­ Acheh, Sungai Pinang, Pantai Jerejak, Batu Maung, Bayan Lepas, Pulau Betong dan Teluk Bahang. Semua kerusi ini adalah kawasan yang dimenangi sama ada PKR atau UMNO.

Walaupun untuk memenangi kesemua kerusi itu adalah sukar tetapi Pas menunjukkan kesung-guhan untuk membuktikan parti itu sedia bersendirian selepas berpisah dengan PKR dan DAP. Kali ini Pas juga perlu berhadapan dengan serpihan parti itu sendiri iaitu PAN. Menyelak kembali sejarah, Pas tidak pernah menang banyak kerusi DUN di Pulau Pinang. Permatang Pasir adalah kerusi tunggal. Kali ini kerusi yang boleh dianggap selamat itu diserahkan kepada Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Fauzi Mohd Yusof. Mampukah BN atau PKR memecah kubu Pas di Permatang Pasir ini? Pas pernah memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh pada tahun 1978. Adakah senario politik hari ini memberi peluang kepada Pas untuk menambah kerusi? Bukanlah sesuatu yang mustahil kerana pelbagai perkara pelik boleh berlaku dalam politik. Justeru jangan pandang ringan keupayaan Pas. Sebelum ini ada yang berkata, ramai panglima Pas sudah meninggalkan­ parti itu menyebabkan yang tinggal hanyalah ‘askar-askar’ tanpa ketua. ‘Askar-askar’ ini tidak ada yang memim­pin menyebabkan kea­daan lesu seketika. Bagaimanapun seharian di Seberang Perai kelmarin, semangat bekerja ‘askar-askar’ ini tidak boleh dipandang ringan. Ini terbukti apabila parti itu nampaknya lebih agresif menggerakkan jentera PRU mendahului parti-parti lain. Lihat sahaja kebanjiran bendera Pas. Banyak lokasi strategik telah dikuasai kibaran bendera putih hijau.

Bilik gerakan Pas juga nampak sudah bersedia. Walaupun hari pe­namaan calon belum tiba, suasana bilik gerakan Pas kelihatan ‘hidup’. Proses mengumumkan nama-nama calon juga teratur, lebih cepat berbanding parti lain. Mereka yang diturunkan pula mempunyai latar belakang yang baik meliputi pelbagai peringkat usia dan profesion. Petang kelmarin di Pasar Malam Guar Perahu, Bukit Merta-jam dalam kawasan Parlimen Pe­rmatang Pauh, calon Pas, pence­ ramah Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan muncul bersama penyokong-penyokongnya.

Berpakaian jubah seperti pe­nampilannya­ di kuliah agama dan ceramah, Exco Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang itu beramah mesra dengan pengunjung dan peniaga. sambil menghulurkan risalah Hala Tuju Negara Bersama Pas. Beliau sudah memperkenalkan dirinya sebagai calon Pas bagi N.12 Penanti. Sebagai penceramah yang dikenali di kawasan berkenaan, sudah tentu popularitinya mampu mempengaruhi pengundi-pengundi terutama yang berada di atas pagar.

PAN dan PPBM juga sudah me­ ngumumkan­ calon-calonnya di Pulau Pinang. Selain BN, calon Pas akan berdepan calon PAN di Bayan Lepas, Sungai Dua dan Permatang Pasir serta di Parlimen Kepala Batas. Pertembungan tiga penjuru BN­-Pas-PKR tidak dapat dielakkan. Adakah PRU kali ini benar-benar menguji kekuatan sebenar PKR tanpa Pas? Adakah perpisahan Pas dengan gabungan PKR dan kelahiran PAN menguntungkan BN khususnya UMNO?

UMA230418012C#

Related posts

Leave a Comment