Pecut cari ganjaran Ramadan, bukan memecut di jalan raya

MINGGU terakhir Ramadan. Masing-masing me­lakukan pecutan untuk mempertingkatkan ibadah sambil mencari malam lailatul qadar. Tidak pasti sama ada malam itu sudah berlalu atau belum, apa yang penting gunakanlah kesempatan­ hari-hari yang berbaki ini untuk melakukan pecutan mengejar ganjaran pada bulan yang penuh keberkatan ini. Masih ada waktu sebelum ia pergi meninggalkan­ kita. Amat malang jika di awal permulaan Ramadan, ramai yang bersungguh-sungguh memenuhi­ masjid dan surau untuk solat tarawih, tadarus al-Quran dan sebagainya tetapi pada penghujungnya, mereka terkulai layu kerana sibuk memecut me­ lakukan persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Ibarat seorang kekasih yang akan pergi jauh selama setahun, adakah kita sekadar melihat ia pergi begitu sahaja? Dalam tempoh setahun itu juga, belum pasti kita dapat bertemunya semula. Justeru, lakukanlah sesuatu yang terbaik untuk mengucapkan ‘selamat jalan’ kepadanya. Pecutlah, kejarlah! Selagi ada waktu, berilah ruang secukupnya kepada Ramadan. Cuma ingin diperingatkan, jangan pula memecut di sepanjang jalan raya atau lebuh raya untuk bercuti pulang berhari raya di kampung halaman. Pecutan seumpama ini boleh membawa keburukan, bukannya kebaikan.

Dalam hubungan ini, setiap kali menjelang musim perayaan, kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan akan mengadakan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Op Bersepadu. Tahun ini, kempen bertemakan Pandu Cermat, Sampai Selamat itu bermula semalam sehinggalah 2 Julai ini. Apakah kempen kali ini mampu mengurangkan kemalangan jalan raya? Sebelum ini pun, pelbagai peringatan dibuat bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya kerana kemalangan bukan hanya berlaku semasa musim perayaan. Nahas berlaku tanpa mengira masa.

Lakukanlah sesuatu yang terbaik untuk mengucapkan ‘selamat jalan’ kepadanya. Pecutlah, kejarlah! Selagi ada waktu, berilah ruang secukupnya kepada Ramadan. Jangan pula memecut di sepanjang jalan raya atau lebuh raya untuk pulang berhari raya.

Diselak kembali baru-baru ini, beberapa kemalangan ngeri berlaku di luar musim perayaan. Contohnya nahas yang melibatkan sekumpulan pelajar tahfiz di Kelantan dan kemalangan melibatkan sebuah keluarga di Ne­geri Sembilan baru-baru. Entah berapa banyak kemalangan akan dihitung sepanjang Op Bersepadu sempena musim perayaan kali ini. Tahun lalu, semasa tempoh perayaan Hari Raya Aidilfitri, sebanyak 20,982 kemalangan melibatkan 299 kematian. Menyelak kembali kempen ini, baru-baru ini tular di media sosial mengenai trailer lama hitam putih terbitan Filem Negara berkaitan kempen keselamatan jalan raya. Menarik rayuan yang dibuat.

Mukadimah kempen itu berbunyi: Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia minta pertolongan tuan untuk mengelakkan kemalangan di jalan-jalan raya, sama ada tuan memandu kereta atau lori, sama ada tuan menunggang motosikal atau basikal ataupun berjalan kaki, tuan bertanggungjawab terhadap satu sama lain. Patuhilah undang-undang lalu lintas, ikuti panduan jalan raya. Lebih 80 peratus kemalangan jalan raya disebabkan oleh pengguna-pengguna jalan raya…Ke­selamatan jalan raya hendaklah sentiasa di hati tuan, dan ingatlah keselamatan jalan raya bermula dengan tuan”.

Mesejnya yang boleh diberi perhatian ialah setiap pengguna jalan raya bertanggungjawab terhadap satu sama lain. Ada kes pemandu A memandu dengan berhemah tetapi menjadi mangsa pemandu B yang cuai. Lebih menyedihkan, pemandu A terbunuh sementara pemandu B tidak mengalami kecederaan. Disebabkan itu jugalah kempen kali ini memberi penekanan kepada memandu secara cermat supaya selamat sampai ke kampung halaman masing-masing. Kempen itu menyasarkan supaya orang ramai memberikan komitmen untuk lebih cermat dan berdisiplin ketika dalam perjalanan ke destinasi masing-masing.

Pengguna sebenarnya tidak ada pilihan lain untuk pulang ke kampung. Keadaan ini menyebabkan kesesakan di jalan raya atau lebuh raya. Banyak pengalaman yang meletihkan setiap kali pulang ke kampung dan kembali semula ke kota. Pengangkutan awam seperti kereta api atau bas ekspres tidak mampu menampung permintaan yang tinggi pada musim perayaan. Penggunaan kereta api (ETS) memang memudahkan perjalanan. Tidak ada kesesakan berbanding jika menggunakan bas ekspres kerana laluannya tetap sama iaitu lebuh raya. Masalahnya ialah kekerapan atau jumlah perjalanan menyebabkan penumpang terpaksa menggunakan kenderaan sendiri. Jika diberi pilihan, tidak ada yang sanggup berdepan perjalanan lima jam menjadi 13 jam. Itu pengalaman yang ada sebelum ini setiap kali cuti perayaan atau cuti panjang pada hujung minggu. Kemudahan sistem pengangkutan awam perlu dipertingkatkan supaya ia lebih cekap dan selesa. Bukan sekadar menghubungkan kawasan di bandar sahaja sebaliknya melibatkan hubungan antara bandar dengan bandar. Perkhidmatan pengangkutan awam yang menghubungkan Kuala Lumpur – Ipoh, Ipoh – Butterworth dan Butterworth – Padang Besar boleh dipertingkatkan lagi bagi menggalakkan penggunaannya dalam kalangan orang ramai. Tidak ada makna menggalakkan orang menggunakan pengangkutan awam tetapi kemudahannya tidak ada. Di kampung, apa yang ada? Bas henti-henti banyak yang dah berhenti. Nak mengharapkan teksi, kereta sewa atau GrabCar?

Pengguna lebih bersedia meng­gunakan kenderaan sendiri kerana di kampung mereka boleh ke sana sini menziarah keluarga dan sahabat handai dengan bebas tanpa perlu menyewa atau meminjam kenderaan lain.

Lokasi nahas pula kebanyakannya melibatkan jalan luar bandar. Di sana, sudah tentu jalannya dua hala dan sesetengah kawasan ja-lan sempit, kadang-kadang menyukarkan untuk kenderaan memotong motosikal. Adakah masih relevan jalan dua hala ini? Jika sudah biasa dengan lebuh raya, kadang-kadang pecutan di jalan ne­geri atau luar bandar sama dengan memandu di lebuh raya. Mungkin sudah tidak ada pilihan, jalan luar bandar tidak mampu untuk diperbesarkan lagi disebabkan­ pelbagai masalah terutama berkaitan pengambilan tanah.

Kepada pengguna jalan raya atau lebuh raya terutama penunggang motosikal, berhati-hatilah. Rekod menunjukkan 62.7 peratus daripada jumlah mangsa kemalangan maut adalah pengguna motosikal dengan mencatatkan 4,485 mangsa. Sekali lagi Pandu Cermat, Sampai Selamat. Jalan raya milik kita semua. Hormatilah orang lain. Selamat jalan Ramadan, selamat datang Syawal!

UMA190617010C#

Related posts

Leave a Comment