MT PN lulus rundingan pembahagian kerusi

SEPANG 16 Julai – Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) meluluskan rundingan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta membenarkan penggunaan lambang gabungan itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Negeri Sembilan.

Pengerusi PN,  Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ketetapan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Khas MT PN yang diadakan pada hari ini.

Menurut beliau, mesyuarat tersebut mengambil ketetapan untuk ‘bersetuju’ meluluskan rundingan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan di antara Parti-Parti Anggota PN, iaitu Pas, Wawasan, Gerakan, dan MIPP.

Naib Presiden Pas itu berkata, mesyuarat juga turut ‘bersetuju’ membenarkan penggunaan lambang ‘PERIKATAN NASIONAL’ oleh calon-calon PN dalam pilihan raya Negeri Sembilan, seperti mana yang telah dipersetujui.

Merujuk kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, beliau memberitahu, segala rundingan awal yang berlaku sememangnya berada di bawah pengetahuan dan kelulusan beliau selaku pucuk pimpinan tertinggi gabungan.

“Segala proses perbincangan dan libat urus dengan mana-mana pihak di peringkat awal telah dijalankan di dalam pengetahuan dan kebenaran daripada saya selaku Pengerusi Perikatan Nasional.

“Ianya telah pun dimuktamadkan dan ‘diluluskan’ oleh Majlis Tertinggi Perikatan Nasional pada mesyuarat hari ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau menambah, barisan calon gabungan itu yang dijadualkan diumumkan secara rasmi pada hari ini memikul mandat besar demi kepentingan dan kestabilan negeri berkenaan.

Menurut Menteri Besar Terengganu itu, bagi tujuan pilihan raya di Negeri Sembilan, penyertaan sejumlah calon PN, yang akan diumumkan hari ini, adalah bagi membela kebajikan rakyat, mengangkat agenda pembangunan negeri serta mempertahankan keharmonian masyarakat majmuk di Negeri Sembilan khususnya, dan Malaysia amnya.

Bersatu dalam mesyuarat khas malam tadi memutuskan untuk bertanding menggunakan simbol parti mereka sendiri dalam PRU DN Negeri Sembilan.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata perkara itu diputuskan pada mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersat, malam ini setelah Pas didakwa mengadakan rundingan politik dengan Barisan Nasional (BN) tanpa persetujuan PN.

Pada masa yang sama PN juga katanyq gagal memuktamadkan rundingan pembahagian kerusi PN bagi PRU DN Negeri Sembilan.

Beliau berkata, Bersatu kesal dengan tindakan Pas mengadakan rundingan dengan BN tanpa melibatkan semua parti komponen PN serta tanpa mendapat persetujuan Majlis Tertinggi PN.

Related posts

Leave a Comment