‘Dacing’ masih diterima rakyat

BARISAN Nasional (BN) masih relevan dan diterima oleh rakyat. Lambang dacing masih diterima rakyat. Itu reaksi Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi mengulas kemenangan BN mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Ini kemenangan keenam BN dalam pilihan raya kecil (PRK) selepas PRK Parlimen Cameron Highlands, DUN Semenyih, DUN Rantau, Parlimen Tanjung Piai dan Parlimen Kimanis.

Ahmad Zahid yakin enam PRK selepas Pilihan Raya Umum ke-14 memberikan bukti bahawa BN masih relevan dan mempunyai masa depan cerah untuk berjaya dengan sokongan parti komponen serta Muafakat Nasional.

“Apatah lagi sekarang kita menyokong Perikatan Nasional. Kombinasi ini juga menyumbang kejayaan (kemenangan) selain pengundi Chini sendiri mahu kesinambungan perkhidmatan BN,” kata Presiden UMNO itu selepas pengumuman rasmi keputusan PRK Chini di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pekan, yang juga Ketua UMNO Bahagian Pekan, Najib Tun Razak berkata walaupun berhadapan dengan dua calon Bebas, namun jentera MN tidak memandang ringan saingan itu.

“Kemenangan ini menunjukkan BN dan Muafakat Nasional mendapat sokongan kukuh dalam kalangan pengundi sehingga dua calon Bebas hilang deposit. Saya anggap kemenangan ini sebagai kemenangan pengundi DUN Chini kerana mereka inginkan wakil rakyat yang boleh berkhidmat dan teruskan pembangunan di kawasan mereka selain mahu masa depan yang lebih baik dan terjamin,” katanya.

PRK DUN Chini menyaksikan calon BN Mohd Sharim Md Zain, 41, menang dengan majoriti 12,650 selepas memperoleh undi 13,872. Pencabarnya iaitu dua calon Bebas, Tengku  Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, meraih 1,222 undi dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, hanya mendapat 137 undi, menyebabkan kedua-duanya hilang deposit.

Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan formula calon muda yang diketengahkan membuahkan hasil dengan majoriti besar yang diperoleh oleh  BN.

Katanya selain faktor calon muda, Mohd Sharim sudah dikenali penduduk DUN Chini kerana aktif dalam pelbagai persatuan belia selain kerap membantu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebelum itu, Allahyarham Abu Bakar Harun. 

Related posts

Leave a Comment