Tentera siber perlu balas serangan bila-bila masa

BETULKAH rawatan RM1 di hospital kerajaan dimansuhkan? Tol naik esok? Bermula 7 Nov. harga gas (LPG) dijangka naik RM7 setong? Itu antara persoalan yang berlegar-legar melalui media sosial khususnya di Facebook dan WhatsApp. Banyak lagi persoalan yang ditimbulkan sejak kebelakangan ini, yang semuanya berkaitan dengan rakyat. Begitu juga kehadiran pelbagai ‘pengumuman dan kenyataan’ tidak berasas yang menimbulkan keresahan banyak pihak. Keba­nyakan sasaran persoalan ini ialah kerajaan dan pemimpin-pemimpin­nya kerana isu-isu ini berkait­ rapat dengan perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan. Mungkin inilah hasil kehadiran pelbagai media sosial yang tidak lagi mampu menapis dan menepis segala maklumat sama ada ia sesuatu yang benar bersama fakta atau fitnah, khabar angin malahan ibarat sampah terbuang yang busuk lagi membusukkan.

Ada berita yang menjadi viral itu adalah berita basi yang dikitar semula, contohnya kadar kenaikan baharu tol lebuh raya dan kebakaran sebuah sekolah di Johor pada hari kebakaran di Hospital Sultanah Aminah (HSA). Berkaitan berita kitar semula ini, Selak juga pernah menerima be­rita kematian seorang bekas mufti yang sebenarnya telah lama me­ninggal dunia. Semuanya akibat nafsu ingin melaporkan sesuatu lebih awal, ibarat wartawan pertama yang tiba di lokasi kejadian. Kebanyakan daripada kita menerima sahaja maklumat ini yang kesahihannya belum pasti. Setiap detik WhatsApp atau Facebook akan menerima pelbagai info. Dan begitu mudah juga jari-jemari kita menyebarkan maklumat itu seluas-luasnya tanpa usul periksa. Lebih malang lagi bagi mereka yang beragama Islam turut terleka dengan sebaran maklumat yang kadang-kadang lebih menjurus kepada unsur-unsur fitnah, menghina dan mengaibkan seseorang.

Semoga kita tidak menjadi muflis di akhirat akibat tindak tanduk kita mengiyakan perkara yang meragukan atau berunsur fitnah melalui WhatsApp ini. Selak terlintas mengenai muflis akhirat ini apabila pada hari Jumaat lalu, khatib dalam khutbahnya di Masjid Bandar Seri Putra, menyentuh mengenai seseorang yang jatuh muflis di akhirat akibat pahala yang dibawanya terpaksa diagihkan kepada orang lain yang membuat pelbagai tuntutan kerana beberapa perlakuan atau tindakan yang salah terhadap insan lain. Diharapkan kita tidak tergolong dalam golongan orang yang hilang pahala amal baiknya akibat terjebak dalam perbuatan me­ngumpat cara moden yang membawa kepada dosa halimunan.

Kembali kepada penyebaran maklumat yang dalam keadaan status spekulasi yang meragukan ini, pihak berkuasa perlu mengambil langkah segera untuk membendungnya. Maksudnya bukan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) tetapi pihak-pihak yang dikaitkan secara langsung dengan penyebaran pelbagai maklumat yang tidak tepat itu. Setiap kementerian atau agensi berkaitan perlu memantau kandungan­ WhatsApp yang berlegar-legar seperti orang gila sedang mengamuk itu. Pasukan siber atau tentera siber agensi berkenaan­ perlu sentiasa waspada sepanjang masa, bukannya hanya bekerja mengikut waktu pejabat. Lakukan serang balas apabila diserang, bukan mengambil pendekatan tunggu dan lihat, kononnya untuk menyusun strategi. Ketika mereka menyusun strategi, musuh pula terus memporak-pe­randakan suasana sesuka hati.

Contohnya ketika kebakaran di HSA Jo-hor Bahru baru-baru ini. Belum pun sempat, maklumat tepat mengenai kejadian dimaklumkan, sudah ada ‘wartawan segera’ menyebarkan mengenai jumlah kematian, punca kebakaran dan macam-macam lagi. Menyusul di ruang WhatsApp selepas itu, ‘pekeli­ling larangan’ mengecas telefon bimbit di soket berdekatan panel bekalan gas oksigen. Peliknya pekeliling itu ditujukan kepada petugas di Hospital Serdang sahaja. Kenapa tidak semua hospital? Akhirnya, Kementerian Kesihatan menafikan pekeliling itu.

Mengenai hospital juga, pekeliling ‘berkaitan rawatan’ memang dikeluarkan tetapi maksudnya telah disalah tafsir dan menjadi viral yang sempat meresahkan masyarakat. Bukan sekadar resah tetapi viral itu turut menimbulkan kemarahan rakyat terhadap pemerintah. Hakikatnya tafsiran yang dibuat tidak tepat. Berikutan pekeliling berkaitan Perkhidmatan Pesakit Bayar Penuh (FPP) atau Full Paying Patient terdapat dakwaan yang disebarkan kononnya kerajaan akan memansuhkan perkhidmatan rawatan bersubsidi (bayaran rawatan RM1) di hospital kerajaan. Kononnya kadar bayaran perkhidmatan akan menjadi seperti hospital atau klinik swasta. Sebenarnya, FPP adalah satu pakej yang dilaksanakan sejak tahun 2007 bagi mengawal penghijrahan pegawai perubatan pakar hospital kerajaan.

FPP adalah alternatif kepada pesakit yang berkemampuan membuat bayaran kos rawatan penuh bagi mendapatkan rawatan khusus di hospital terpilih. Pesakit boleh memilih pegawai perubatan pakar, mendapat kemudahan giliran untuk rawatan dan menikmati beberapa kemudahan di wad eksekutif, kelas satu atau yang setaraf. Itulah sebenarnya FPP. Banyak lagi perkara yang digembar-gemburkan dengan tujuan menimbulkan kemarahan rakyat terhadap pemerintah. Jalan keluar yang mudah bagi mereka yang me­nerima maklumat tidak tepat ini adalah menyalahkan kerajaan termasuk UMNO. Akhirnya secara sedar atau tidak, masyarakat terjebak menyebarkan perkara yang tidak betul ini. Ramai terjebak dalam gelanggang fitnah atau mengumpat­ cara moden tanpa mulut tetapi sekadar gerakan jari.

Di sinilah peranan tentera atau pasukan siber agensi-agensi berkaitan supaya mereka menangkis setiap serangan tanpa mengira masa dan ketika. Peranan mereka untuk menyusup ke semua destinasi supaya setanding­ dengan gerakan dan kecekapan WhatsApp. Jelaskan dengan bahasa yang mudah supaya penerima­ dapat faham. Tidak dinafikan,­ apabila maklumat sebenar dibuat, tidak banyak­ yang dapat me­ nerimanya kerana mereka sudah dibiarkan terlalu lama dengan maklumat yang salah. Penjelasan ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri manakala berita palsu itu tertanam dalam fikiran mereka. Ada sahaja yang akan cuba menidakkan kebenaran. Akhirnya, rakyat Malaysia tidak habis-habis melayani pelbagai maklumat yang mengelirukan, mengajak ke jalan permusuhan, menimbulkan syak wasangka dan mencari silap orang lain.

Oleh itu, siasatlah terlebih dahulu sesuatu berita atau maklumat sebelum disebarkan kepada orang lain kerana jika tersilap langkah, ia akan membawa fitnah. Bayangkan berapa banyak fitnah kita setiap hari sekiranya satu mesej itu dihantar kepada 10 grup WhatsApp yang setiap satunya mempunyai 50 orang. Berapakah nilai ganjaran yang diperoleh jika perkara yang disebarkan itu betul-betul fitnah?

UMA071116010C#

Related posts

Leave a Comment