Teksi: Bajet 2017 khabar gembira atau duka?

ADA yang kata 10,000 dan ada pula yang mendakwa 20,000 teksi sudah dipulang kepada syarikat. Tidak pasti,
angka mana yang betul tetapi jumlah itu bukanlah sesuatu yang mustahil. Syarikat yang menyewakan teksi atau permit bolehlah mencari jalan keluar kepada masalah ini lebih-lebih lagi selepas kehadiran Uber dan Grab yang bakal memberi saingan. Bagi pemandu yang tidak mampu bersaing terpaksa menyerahkan teksi mereka dan
mencari jalan keluar termasuk menyertai Grab atau Uber. Punca utama teksi diserahkan semula adalah sama ada pemandu tidak mampu lagi menanggung beban sewa yang tinggi berbanding pendapatan yang semakin merosot,
menyertai Uber/Grab atau sudah tamat tempoh yang membolehkan mereka memperoleh permit sendiri.
Persoalannya, adakah mereka yang mengembalikan teksi itu akan mendapat permit individu? Adakah mereka layak? Jangan mendengar guruh di langit air di tempayan dicurahkan.

Ketika pembentangan Bajet 2017 pada hari Jumaat lalu, ada dua perkara yang menjadi perhatian pemandu teksi. Ada yang menganggapnya khabar gembira dan ada pula yang berdukacita.

Pertama: Tawaran permit teksi individu dan geran RM5,000 untuk pembelian teksi baharu kepada pemandu
teksi yang layak. Sebanyak RM60 juta diperuntukkan untuk tujuan itu yang memberi manfaat kepada seramai 12,000 pemandu teksi yang layak dan tamat kontrak pajak dengan syarikat teksi mereka.

Kedua: Pengiktirafan terhadap perkhidmatan Uber apabila kerajaan menggalakkan penyertaan golongan berpendapatan isi rumah 40 peratus terendah (B40) menjadi pemandu Uber sama ada menggunakan kenderaan sendiri atau membeli Proton Iriz menggunakan BR1M serta rebat sebanyak RM4,000. Tawaran ini sudah tentu khabar gembira kerana dalam kalangan pemandu teksi sekarang, mereka layak berbuat demikian. Harus diingat kos sewa harian yang terpaksa dibayar setiap bulan adalah tinggi berbanding harga sebenar sebuah kereta. Ambil sahaja contoh RM40 sehari sewa harian, berapa yang perlu dibayar dalam tempoh sebulan? RM1,200. Kereta apa
boleh dibeli jika tempoh bayaran balik pinjaman sembilan tahun?

Pemandu teksi sudah tahu mengenai tawaran permit itu tetapi reaksi mereka pelbagai kerana pemandu yang menggunakan permit sendiri pun sudah mengeluh. Cuma caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) boleh melegakan sedikit keresahan pemandu teksi. Penyedia platform perkhidmatan pengangkutan dalam
talian, Uber Malaysia pula dalam reaksinya mempelawa lebih ramai rakyat Malaysia menyertai syarikat berkenaan. Hakikatnya ketika ini pun, ramai orang termasuk kakitangan awam menjadi pemandu teksi untuk menjana pendapatan tambahan keluarga.

Kini pemandu teksi perlu bersedia bersaing dengan perkhidmatan Uber/Grab yang dikatakan menawarkan perkhidmatan yang lebih murah dan selesa. Baru-baru ini, Grab Malaysia mengumumkan kadar baharu tambangnya diturunkan daripada RM1.30 sekilometer kepada RM1.10 di Lembah Klang. Jika pengguna diberi pilihan, adakah mereka memilih yang murah atau mahal? Walaupun kurang RM1 atau RM2, orang ramai pasti memilih yang murah. Lihat sahaja bagaimana pemandu Teksi 1Malaysia (Teks1M) berhadapan dengan masalah mendapatkan penumpang. Ramai penumpang tidak berani memilih teksi ini walaupun Teks1M sudah tersedia di laluan ketika beratur menunggu giliran kerana kadar tambangnya lebih mahal berbanding teksi bajet. Akibatnya, ada pemilik Teks1M lebih bersedia beratur di lokasi berkupon kerana kadar tambang telah ditetapkan sama seperti teksi bajet.

Begitu juga dengan teksi eksekutif yang tambangnya lebih mahal. Cabaran pemandu teksi bajet adalah untuk berhadapan dengan kadar tambang Uber yang lebih murah, bukan isu e-hailing (e-panggilan). Ada kalangan pemandu teksi yang menyertai sistem milik Grab (dulunya MyTeksi) merungut kurang mendapat tempahan berbanding sebelum ini. Bagi menghadapi cabaran ini, syarikat atau pengusaha yang memajakkan teksi mereka perlu mengubah strategi yang lebih menjurus kearah menjaga kebajikan pemandu. Tawarkan insentif yang lebih baik kepada pemandu bagi mengelakkan industri teksi berkubur. Contohnya kadar sewa harian yang lebih rendah, cuti sakit tanpa perlu membayar sewa untuk tempoh tertentu, cuti tahunan lebih baik, pengecualian bayaran sewa bagi hari tertentu, ganjaran potongan sewa, caruman atau tabungan masa depan, kos kerosakan ditanggung bersama dan beberapa insentif lain yang boleh menampung cabaran pesaing sama ada Grab atau Uber.

Bagi yang sudah memiliki permit dan kenderaan sendiri, mungkin tidak terasa beban yang ditanggung walaupun pendapatan semakin merosot. Bagaimanapun berdasarkan transformasi yang akan dilakukan, pemandu boleh memilih untuk menggunakan kaedah tambang yang ditawarkan oleh Uber/Grab. Bagaimanapun sekali lagi ia bergantung kepada insentif yang ditawarkan oleh syarikat supaya mampu menam-pung pelbagai kos yang ditanggung sebagai penyewa teksi.

Seperti yang pernah ditulis sebelum ini, Selak mempersoalkan sama ada berbaloikah menjadi pemandu teksi syarikat? Hampir 50 peratus teksi di negara ini adalah milik syarikat. Adakah lebih baik kerajaan menghapuskan pelbagai jenis teksi yang ada – bajet, premier, eksekutif, Teks1M dan Limo untuk beralih kepada Uber/Grab? Lebih-lebih lagi terdapat laporan mengatakan pendapatan sebagai pemandu Uber/Grab secara sambilan ini mampu menghasilkan pendapatan lumayan.

Ada yang berpendapat industri teksi akan berkubur dalam tempoh 16 bulan, maknanya menje­lang tahun 2018. Adakah ini akan menjadi kenyataan? Tanda-tanda ke arah itu sudah mula kelihatan.

UMA241016012C#

Related posts

Leave a Comment