Tidak ‘pelik’ perwakilan Pas memilih prinsip perjuangan

KERAJAAN DAP Pulau Pinang menghormati keputusan bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu @ Mat Sabu untuk melepaskan semua jawatannya dalam pentadbiran kerajaan negeri itu. Ketua Menteri, Lim Guan Eng
berkata, keputusan itu jelas menunjukkan Mat Sabu berpegang kepada prinsip dan tidak mementingkan jawatan selepas akur kepada keputusan Muktamar Tahunan Pas Pusat untuk memutuskan hubungan dengan DAP. Mat Sabu tanpa disuruh (meletak jawatan) melepaskan kedudukannya sebagai ahli Lembaga Pengarah Bekalan Air Pulau Pinang dan Penang International Halal Bub. Tahniah kepada bekas ‘ayam sabung’ Pas yang dikatakan oleh
Guan Eng berpegang kepada prinsip dan tidak mementingkan jawatan! Semoga Mat Sabu dapat menerima ‘kehilangan’ kedudukan itu. Sesiapa juga yang sudah merasai ‘kesenangan’ amat berat untuk ‘berpisah’ dengan ‘kuasa dan kedudukan’ (2K). Tidak hairanlah ada yang terbabas daripada prinsip perjuangan gara-gara 2K ini.

Kepada Guan Eng, begitu jugalah kenyataan yang sepatutnya ditujukan kepada perwakilan Pas ketika muktamar parti itu yang majoritinya mengutamakan prinsip, bukannya 2K. Walaupun ada pemimpin Pas sebelum ini yang mendakwa parti itu tidak mampu berkuasa di negeri dan di peringkat Pusat jika memutuskan hubungan dengan DAP atau pakatan, tetapi perwakilan Pas lebih mengutamakan prinsip perjuangan. Pas sudah tentu tidak rela mengorbankan prinsip parti semata-mata mahu berkuasa. Pas tidak mampu mengorbankan hudud hanya kerana
mahu menjaga hati sekutunya, DAP. Walaupun kedudukan hubungan dengan pakatan masih samar tetapi setakat ini sudah nampak hala tuju Pas apabila muktamar minggu lepas menerima usul Dewan Ulama tanpa perbahasan iaitu memutuskan hubungan dengan DAP meskipun kekal dalam pakatan pembangkang. DAP juga sudah membuat keputusan. Kata Guan Eng, mana-mana jawatan yang dikosongkan oleh wakil Pas akan diisi oleh pemimpin Melayu yang bukan daripada parti berkenaan, tentunya dari PKR atau Melayu DAP. Pintu untuk Pas sudah tertutup. Bagi anggota Pas lain yang masih mempunyai kedudukan sebagai ahli majlis pihak berkuasa
tempatan atau badan lain sudah seharusnya bersedia membawa diri, kecuali mereka beralih arah kepada DAP atau PKR. Tidak pasti pula kedudukan ADUN Permatang Pasir, Salleh Man sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang. Mungkin terselamat kerana lantikan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong. Ketiadaan wakil Pas di dalam kerajaan negeri tidak menjejaskan DAP. Dengan hanya satu kerusi, peranan Pas hanyalah untuk membantu kemenangan calon PKR yang bertanding menentang calon BN (UMNO) setiap kali PRU atau pilihan raya kecil (PRK). Pihak yang akan lebih terasa kehilangan Pas di Pulau Pinang hanyalah PKR.

Kembali kepada Mat Sabu, beliau menerima kekalahannya tetapi mendakwa kalah dengan jumlah ‘undi pelik’. Apa yang pelik? Jika perwakilan sudah menolak seseorang pemimpin walaupun sudah bergelumang dengan parti selama 30 tahun dengan pelbagai jawatan dan gelaran, apa lagi nak dikata? Mungkinkah jumlah undi yang diperolehnya iaitu 279 undi sebagai ‘pelik’ berbanding 881 undi yang diperoleh Tuan Ibrahim Tuan Man? Jika diselak kembali pada pemilihan 2013, Mat Sabu memperoleh 588 undi untuk menduduki kerusi No.2, mengalahkan Mohd Amar Nik Abdullah (490 undi). Adakah Mat Sabu masih ingat jumlah undi yang diperoleh Nasharuddin Mat Isa dalam pertandingan tiga penjuru pada pemilihan 2011? Nasharuddin gagal mempertahankan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden apabila memperoleh 224 undi. Adakah jumlah undi itu juga pelik? Mat Sabu menang dengan kelebihan 21 undi setelah mendapat 420 undi dan seorang lagi calon, Tuan Ibrahim memperoleh 399 undi. Mat Sabu boleh selak lagi pada pemilihan 2009. Ketika itu, berlaku pertandingan tiga penjuru bagi mengisi jawatan No.2 itu. Nasharuddin menang dengan mendapat 480 undi, Husam Musa 281, dan Mat Sabu 261. Maknanya, angka orang kalah tidak sampai 300 undi. Jadi di mana peliknya? Begitu juga dengan Ahmad Awang dan rakan-rakan seangkatan yang lain kalah dalam pemilihan lalu dengan jumlah undi kebanyakannya tidak mencecah sekurang-kurangnya 300 undi. Bersyukurlah kerana masih  mendapat undi yang ‘banyak’. Mana mungkin, seorang timbalan presiden yang berperangai ‘pelik’ mengkritik presiden secara terbuka akan diberi sokongan? Bagaimana No.1 dan No.2 dapat bekerja jika tidak sehaluan? Mat Sabu ketika mengkritik Abdul Hadi berkata: Begitu kehebatan Presiden kita sekarang, Tuan Guru (Datuk Seri) Abdul Hadi Awang… kuliahnya begitu hebat, kereta berderet-deret (untuk mendengar kuliah). Tetapi kehebatan itu sendiri tidak dapat mengambil alih Terengganu melainkan ada pakatan politik pada 1999 bersama Alternatif’’.

Akhirnya perwakilan terpaksa memilih timbalan presiden (selepas mengambil kira peluang Hadi mempertahankan jawatan lebih cerah) yang dapat bekerjasama dengan presiden. Ketika bercakap mengenai ‘kekuatan dan kelemahan’ Presiden, Mat Sabu lupa terhadap ‘kehebatan’ dirinya. Pemimpin yang pernah mendapat jolokan ‘ayam sabung atau ayam tambatan’ Pas ini pernah bertanding di negeri kelahirannya, Pulau Pinang tetapi tidak pernah menang. Ketika mula bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) 1982, Mat Sabu tewas di Parlimen Kepala Batas, begitu juga di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh. Semasa PRU 1986, beliau kalah lagi, kali ini di Parlimen Permatang Pauh. Mat Sabu memang hebat ketika menjadi Ketua Dewan Pemuda Pas. Seperti kenyataannya terhadap Abdul Hadi, ceramahnya hebat, kereta berderet-deret. Penontonnya bukan sekadar orang Pas tetapi juga orang UMNO. Mat Sabu mencatat kemenangan apabila berhijrah ke Kelantan dan menang di Parlimen Nilam Puri (1990), kemudian di Parlimen Kubang Kerian (1995) dan Parlimen Kuala Kedah (1999). Beliau gagal mempertahankan Kuala Kedah pada 2004. Akhirnya pada PRU 2008, beliau berhijrah ke Parlimen Kuala Terengganu tetapi tewas. PRU 2013, sekali lagi, beliau ke Kedah tetapi tewas di Parlimen Pendang. Begitulah kehebatan Mat Sabu yang menjelajah ke serata tempat berbanding Abdul Hadi yang kekal di Marang, Terengganu walaupun pernah tewas.

Keputusan menolak Mat Sabu dan ‘rakan-rakan sealiran’ atau yang bersikap bagaikan ‘lalang’ ditiup angin jelas menunjukkan golongan ulama dalam Pas mahu meneruskan prinsip perjuangan asal parti itu walaupun terpaksa ‘mengorbankan’ 2K. Pas mahu menunjukkan bahawa parti itu bukannya ‘kuda tunggangan’ DAP. Tanpa DAP, perjuangan Pas masih boleh diteruskan walaupun dikatakan akan kehilangan kerusi. Pas bukan sekadar parti politik untuk 2K tetapi bertanggungjawab mempertahankan dasar perjuangannya.

Eloklah ahli-ahli Pas menyelak kembali ucapan dasar Allahyarham Fadzil Mohd Noor semasa Muktamar ke-40 parti itu di Masjid Rusila, Marang, Terengganu pada tahun 1994. Kata Allahyarham: Saya ingin menegaskan kepada seluruh ahli dan pendokong Pas bahawa perjuangan kita untuk mendaulatkan Islam akan terus mara ke hadapan…Pas mengumumkan hasratnya untuk melaksanakan syariat Islam termasuk hudud sejak ia ditubuhkan pada tahun 1951. Para pemimpin Pas sejak itu tidak pernah berselindung mengenai cita-cita ini,’’.

Kini, Pas sudah ‘dibersihkan’. Di bahu barisan kepemimpinan baharu ini terletak tanggungjawab untuk meneruskan amanat perjuangan parti itu. Pas mungkin lebih kukuh selepas ‘pembersihan’ secara demokratik ini. Tidak mustahil, parti itu akan terus mendapat sokongan atau menjadi alternatif bagi orang Melayu jika perjuangannya tidak terkeluar daripada landasan asal.

UMA080615010C#

Related posts

Leave a Comment